Sempena bulan Ramadan yang mulia nanti, penghibur rakyat yang top –
biduanita Sharifah Aini akan mengerjakan umrah pada 5 Disember. Ada
kawan beritahu Juwie, Ani akan pergi bersama anaknya - Aliff (18 tahun),
ibu saudaranya - Raja Salmah serta keluarga Kak Bam dan ABI. Dengan
perasaan gembira terus Juwie pun telefonlah Ani nak tahu cerita lebih
lanjut. Mulanya Ani keberatan nak bercerita sebab dia bimbang nanti apa
pulak orang kata.
Juwie pun pujuklah Ani ... habis tu kalau
cerita artis melalak di pentas kita boleh heboh-hebohkan takkanlah
cerita yang baik tak boleh dihebahkan? Kalau kita hebahkan biarlah
manusia yang pandang rendah pada artis-artis bukak mata tu terbeliak
sikit biar mereka tahu bahawa artis-artis pun tahu ingat dunia dan
akhirat. Dah puas dipujuk-pujuk, akhirnya Ani pun berceritalah.
Katanya: “Ani mengerjakan umrah kali ini kerana adanya panggilan rindu
untuk ke sana lagi sebagai tetamu Allah. Bagi Ani, tiada tempat seindah
Mekah dan Madinah. Tiada tempat ketenangan yang dapat dicari selain di
sana.”
Apa yang Ani nak doa di hadapan Kaabah
nanti? “Ani nak doakan semoga Allah melimpahkan setinggi rahmat ke atas
seluruh umat Islam di dunia ini. Ani nak pertingkatkan keimanan. Ani
nak mengadu macam-macam kepada Allah mengenai rahsia hati Ani. Kalau
kita mengadu kepada orang, nanti orang pecah lubang. Tapi bila kita
mengadu kepada Allah, segalanya menjadi rahsia dan hanya Allah Yang Maha
Mengetahui dan dapat menolong kita,” jawab Ani dalam nada terharu.
Mulia sungguh hati Ani nak doakan yang baik-baik untuk umat Islam tapi
ada orang busuk hati nak doakan yang buruk-buruk untuk umat Islam.
Memanglah seronok, meriah dan tiada
terhingga nikmatnya beribadah dengan hati yang ikhlas sepanjang Ramadan
di tanah suci bersama berjuta umat Islam. Setelah tiga tahun menjadi
ibu tunggal, tidakkah setakat ini ada yang melamar Ani? “Belum ada yang
melamar lagi. Lagi pun hati Ani belum terbuka untuk berkahwin lagi buat
masa ini. Ani seronok hidup seorang. “Kalau dulu, masa perkahwinan
pertama bila bercerai aje habis edah terus Ani kahwin lagi. Tapi kali
ini, biarlah Ani lama sikit. Sebab Ani tak mahu hati terguris lagi. Lagi
pun Ani sibuk dengan karier. Sebenarnya Ani suka hidup berkeluarga dan
ada suami tapi cuma Ani memerlukan masa yang lama untuk perkahwinan
ketiga nanti jika ada jodoh,” ceritanya.
Ani sekarang tengah top dengan lagu
Seribu Mawar. Saban hari berapi-api radio memutarkan lagunya.
Ramai yang suka dan terharu menghayati lirik lagu itu. Juwie dengar
cerita, albumnya edaran EMI tu laris dan menjangkau lebih 50,000 unit.
Kelas gitu. Murah rezekinya. Ani juga tengah sibuk dengan show di
merata tempat. Alhamdulillah ... Allah Taala memurahkan rezeki janda
muda yang kuat semangat ini. Siapa nak ambil Ani buat show bolehlah
telefon Normaheran di EMI nombor: 03-89455033 (waktu pejabat).
Rasanya, tentu meriah jika ada pihak TV buat program hiburan raya Seribu
Mawar Aidilfitri yang dihoskan oleh Ani. Bolehlah dia undang artis baru
dan lama sambil menjadikan tetamu khasnya daripada kalangan anak-anak
yatim, insan kurang upaya dan pesakit-pesakit di hospital. Sebab Ani
memang sayangkan insan-insan begitu. Stesen TV kenalah cepat-cepat
rebutkan Ani sebelum pihak lain buat idea ini.