|
SAMBUTAN ULANG TAHUN AMAT ISTIMEWA oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian - Jumaat, 13 Julai 2007) |
|
"Lazimnya kak Pah mengadakan majlis sekali saja dan ketika itulah kawan rapat akan berkumpul dan meraikan bersama. Tapi kali ini jadual lari sikit kerana ada antara mereka orang korporat yang terpaksa ke luar negara atas urusan kerja. Jadi, kak Pah terpaksa pecah-pecahkan hari untuk meraikan hari itu bersama mereka. Malam pertama kak Pah bersama teman di kalangan media dan malam seterusnya bersama teman korporat kak Pah. Cuma malam kelima saja kak Pah diraikan mereka. Kak Pah adakan majlis itu di beberapa hotel yang berbeza. Inilah saat yang paling membahagiakan kak Pah apabila semua kawan yang kak Pah sayang, yang sanggup susah senang bersama kak Pah sebelum ini ada bersama," katanya ketika dihubungi Hip, Rabu lalu. Biarpun tarikh hari lahirnya jatuh pada 2 Julai lalu, sambutannya sengaja dilangsungkan awal iaitu bermula 30 Jun untuk memberi peluang kepada semua sahabatnya meraikan bersamanya. Menurut si pelantun Seri Dewi Malam ini, majlis yang diadakan secara privasi ini berlangsung dalam suasana penuh meriah dan seperti yang dirancang. "Seperti ramai yang kawan kak Pah sedia maklum, majlis sambutan ulang tahun kak Pah selalunya lebih bersifat peribadi, tenang dan bukan hiruk pikuk seperti parti hari jadi biasa. Kak Pah lebih suka menjamu tetamu dan bermesra dengan mereka dan berbual sambil bertanyakan perkembangan terbaru mereka. Maklumlah kebanyakan mereka adalah wanita korporat yang sibuk begitu juga dengan saya sehingga sukar untuk kami bertemu muka. Jadi kesempatan seperti ini kami gunakan sepenuhnya untuk berkumpul dan bertanya khabar. Menyifatkan majlis yang berlangsung itu sebagai kenangan paling indah, Sharifah berkata, apa yang lebih menggembirakannya adalah tahun ini ramai temannya yang berada di luar negara sanggup terbang ke Malaysia semata-mata untuk bersamanya pada hari bahagia itu. Kali ini memang ramai yang hadir untuk bersama dengan kak Pah. Ada yang datang dari Hong Kong, Amerika Syarikat, Turki dan Morocco dan kak Pah rasa cukup terharu dengan pengorbanan dan kasih sayang yang ditunjukkan mereka ini," kata Sharifah Aini yang memang dikenali dengan sifat suka menghargai rakan-rakan.
|