
Sharifah Aini pula yang memakai kurung pendek warna merah jambu, memulakan persembahan tepat jam 1.20 tengahari dengan lagu lama yang dipopularkan oleh Bob Tutupoli, 'Mengapa Tiada Maaf', diikuti 'Hapuslah
Airmatamu' dan 'I Will Always Love
You' (Whitney Houston). Sesuai dengan
penonton rata-rata wanita berusia lewat 30-an (sudah berkahwin dan
berkeluarga), Sharifah atau mesra dengan penggilan kak Pah, menyanyikan
medley lagu-lagu mengenai kegembiraan kaum hawa apabila berkasih,
kemudian bergelar isteri dan ibu seperti 'Dekatlah Padaku'
dan 'Kau Tinggi Di Awan Biru'.
Penyanyi yang sudah menghambakan diri lebih 30 tahun dalam seni, turut
menceritakan pengalamannya ketika menyanyi, tidak lupa menyentuh
persoalan peminat mengenai tahi lalatnya yang penuh di muka serta
menyanyikan lagu 'Happy Birthday' kepada penonton bertuah petang itu, Dr
Kamal.
Persembahan kak Pah yang diiringi Syed Sobrie sebagai pemain keyboard, Ahmad (bass) dan Benson (gitar) serta tiga penyanyi latar, Arab, Eka dan Hanis turut memberi
penghargaan kepada penyanyi Indonesia, Broery Marantika yang meninggal dunia
tahun lalu. Mungkin banyak kenangan manis kak Pah dengan Broery ketika sama-sama
berlakon 'Hapuslah Airmatamu' hingga menyanyikan lagu 'Hati Yang Terluka'
dengan penuh perasaan, diikuti lagu terakhir yang dirakamkan penyanyi itu 'Semua
Pergi'. Mungkin penonton dibuai dengan suara
Sharifah Aini hingga terpukau menyebabkan mereka tidak memberi respon baik
seperti bertepuk tangan atau menyanyi bersama. Beberapa kali Sharifah Aini
meminta penonton memberi tepukan kerana baginya semua itu memberi makna kepada
persembahan seterusnya. Bagaimanapun selepas membuai penonton dengan lagu-lagu
cinta, Sharifah yang tidak henti-henti menerima 'tetamu' (penonton naik pentas),
mula bergelek dengan lagu popular dari album terbarunya, 'Nour El Ain'.
Persembahan yang baru panas itu dihangatkan lagi dengan irama salsa lagu Marc
Anthony, 'I Need To Know', sebelum
meninggalkan penonton. Dalam persembahan selama sejam itu, Sharifah tidak
ketinggalan menyanyi lagu wajibnya, 'Bunga Tanjung'
yang memaparkan permulaan menarik gubahan Syed Sobrie dengan petikan keyboard,
diikuti lagu Bryan Adams, 'If You Really Love A Woman'
(lagu kegemaran kak Pah dalam beberapa persembahannya sebelum ini).
Sebelum itu, pertunjukan fesyen dari
koleksi Seleksi Akma Fashion Boutique yang juga penganjur persembahan untuk
meraikan setiausaha dan bos mereka. Kak Pah ketika ditemui selepas
persembahannya mengakui dia mahu peminatnya yang datang hari itu pulang dengan
kepuasan. "Penonton rata-rata wanita yang sudah berumahtangga, jadi banyak
lagu-lagu saya tujukan khusus untuk mereka seperti 'If You Really Love A
Woman' serta lagu-lagu medley saya," katanya
tersenyum manis.
|