|
SEPETANG BERSAMA PRIMADONA SHARIFAH AINI oleh Emma (Media Hiburan, 6-12 Januari 1996) |
|
|
|
Untuk menari ligat mengikut tempo lagu, memang dia tidak mampu. Fizikal dan usia tidak sesuai untuk dia berbuat demikian. Tapi Sharifah Aini ada cara tersendiri memikat hati penonton setianya. Lawak Sharifah di pentas, selalunya dilahirkan secara spontan dan dari pengalaman peribadi. Misalnya dalam satu malam konsertnya yang lalu dia menceritakan bagaimana seorang YB menggunakan namanya untuk memancing undi. YB itu menurut kak Pah berjanji, kiranya dia menang pilihanraya, dia akan membawa Sharifah Aini untuk mengadakan persembahan secara percuma untuk pengundi. "Ditakdirkan dia menang lalu dia 'call' saya merayu agar menerima tawarannya untuk mengadakan persembahan di kawasan undiannya. Katanya kalau tak pergi dia kena ... Fikirkan janjinya dan keikhlasannya saya terima. Naik kapalterbang dua jam lepas tu naik kereta satu setengah jam kemudian bersampan pulak tu ... Di sana tu dah jadi perkampungan bila saya sampai. Jadi saya sendiri serba salah nak bergerak, ialah bilik air kat luar, ke bilik air - orang menyerbu ke bilik air ... Betul-betul pengalaman yang menggelikan hati ada, terharu pun ada. Saya masak cucur kodok, bila seorang rasa semuanya nakkan cucur kodok Sharifah Aini. Beli tepung tak payah pergi kedai, 'pass word' saja dari kedai sampai depan pintu, tepung dah sampai. Pengalaman begini bukan senang nak rasa, jadi saya tak memilih tempat atau kedudukan untuk bersama peminat saya. Dan saya mahu kekalkan keakraban yang ada ini." Jelas kak Pah sebaik dia selesai bercerita akan pengalamannya itu. |