|
Mengeluh panjang
Biduanita Negara ini apabila menceritakan pengalaman yang dilaluinya
sepanjang menganjurkan dua konsert amal,
Up, Close & Personal With
Sharifah Aini
di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini. Keluhannya itu
bukanlah kerana penat kerana terpaksa bekerja keras tetapi terpaksa
berdepan dengan pelbagai kerenah manusia yang ditemuinya sewaktu
menjalankan projeknya itu. Sejak menjadi promoter yang
menganjurkan konsertnya sendiri, baru kini Datuk Sharifah Aini sedar,
siapa kawan, siapa lawan.
Permintaan untuk
sama-sama memberikan sumbangan dengan menjayakan konsert amal anjurannya,
ada yang disambut dengan separuh hati. Tak kurang juga yang
bersikap acuh tak acuh untuk turut serta membuat persembahan dek kerana
bimbang penyanyi itu tidak memberikan bayaran atas keringat mereka itu.
Malahan, ada juga yang tergamak memberikan cek tendang sehingga
menyusahkan penganjur dan pelbagai perkara lain yang dilalui oleh
penyanyi dan penghibur ini. Namun semua itu dihadapi dengan sabar
kerana menyedari bukan mudah untuk melakukan amal jariah.
Barpun mengakui
terkilan dan kecewa dengan situasi yang dialaminya itu, namun dia tidak
pernah patah semangat untuk terus mengadakan persembahan amal bagi
membantu rumah anak-anak tahfiz, seperti mana yang pernah dia janjikan
suatu ketika dulu.
|
HIP:
Selepas melakukan dua
persembahan amal, mungkin Kak Pah boleh cerita sikit pengalaman
menganjurkan persembahan sendiri. |
|
Sharifah Aini:
Alhamdulillah, setakat ini Kak
Pah berpuas hati dengan perjalanan mini konsert ini dan Kak Pah
bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh peminat.
Bagi Kak Pah, tidak ada apa yang lebih menggembirakan diri ini
apabila hajat Kak Pah untuk membantu anak-anak tahfiz tercapai.
Cuma selepas bergelar promoter ini, barulah Kak Pah tahu
bagaimana sukarnya untuk menjayakannya. Jika tidak
dikuatkan hati dan iman, mahu saja Kak Pah mengalah tetapi
mengenangkan janji yang sudah dilafaz, Kak Pah teruskan juga
walaupun Kak Pah tahu banyak cabaran yang menanti.
|
|
HIP:
Antara cabaran yang Kak Pah hadapi. |
|
Sharifah Aini: Tentu
ramai yang menyangka Kak Pah anjurkan acara ini dengan mudah.
Tapi sebenarnya tidak. Bayangkan dalam ramai yang menderma, ada
juga yang memberikan cek tendang. Tergamak betul mereka
melakukan perkara sebegitu, sedangkan mereka tahu yang kita buat
show amal ini adalah untuk membantu anak-anak yatim dan pelajar
tahfiz yang belajar secara persendirian. Berkali-kali Kak Pah
cuba hubungi pihak terbabit menerusi telefon, malangnya semua
tidak berjawab. Mungkin selepas ini, untuk persembahan akan
datang, Kak Pah tidak akan lagi menerima cek. Bimbang perkara
yang sama akan berulang. |
|
HIP:
Bagaimana pula dengan komitmen artis?
Apakah mereka mudah memberi kerjasama atau sebaliknya? |
|
Sharifah Aini:
Ini juga antara masalah yang
terpaksa Kak Pah hadapi sepanjang menganjurkan persembahan amal
ini. Ada segelintir artis yang Kak Pah dekati bersikap sinis
dengan persembahan amal ini. Mungkin apabila membicarakan soal
kebajikan, ramai yang menyangka yang Kak Pah ingin mendapatkan
perkhidmatan mereka secara percuma atau dibayar dengan murah.
Kak Pah bukanlah seorang yang begitu. Kak Pah amat menghargai
jasa dan keringat mereka. Terus terang, setiap penyanyi yang
bekerja sama dengan Kak Pah dalam show amal sebelum ini menerima
bayaran yang cukup "sihat" dari Kak Pah. Ini tidak, baru saja
Kak Pah buka mulut untuk melamar mereka, soal bayaran menjadi
persoalan pokok. Itu belum lagi jenis meminta bayaran yang Kak
Pah sifatkan tak masuk akal. Dan orang-orang inilah yang selalu
ke depan, berjumpa dengan media sambil memberitahu mereka memang
gemar melakukan kerja amal. Tapi pada masa sama, berkira dalam
soal wang ringgit dan tenaga. |
|
HIP:
Kenapa Kak Pah tak mahu mencari penaja?
Bukankah itu lebih meringankan beban Kak Pah. |
|
Sharifah Aini:
Kak Pah rasa, biarlah Kak Pah
buat sendiri semuanya. Bukannya berlagak tetapi Kak Pah tak
mahu diibaratkan seperti pengemis dengan meminta tajaan sana
sini kerana Kak Pah tahu, dalam keadaan sekarang, kebanyakan
pihak tidak berminat untuk menaja artis tempatan. Mereka lebih
senang menaja artis luar negara. Lagipun dalam situasi
sekarang, Kak Pah tidak memerlukan lokasi yang besar untuk
membuat konsert. Dewan besar atau ballroom hotel serta dewan
pada Kak Pah sudah memadai kerana itu lebih membuatkan Kak Pah
lebih dekat dengan penonton. Terlanjur bercakap soal penaja,
Kak Pah ingin mengucapkan syabas pada kumpulan Wings dan Search
yang berjaya menganjurkan konsert mereka, Double Trouble,
baru-baru ini walaupun dalam ketiadaan penaja. Harap itu
menjadi satu tamparan buat mana-mana pihak yang sebelum ini
tidak begitu yakin dengan kebolehan artis tempatan. |
|
HIP:
Kak Pah tak serik dengan
apa yang berlaku? |
|
Sharifah Aini:
Apabila
Kak Pah mengambil keputusan untuk membuat kerja amal ini, Kak
Pah sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Apapun halangan
yang menanti, Kak Pah tetap meneruskan usaha ini. InsyaAllah
akan ada dua persembahan amal menanti selepas ini. Dalam
senarai saya, ada kira-kira 15 sekolah tahfiz yang mana
sumbangan akan diberikan mengikut giliran, insyaAllah. Kalau
tidak mampu memberi bantuan wang ringgit, saya akan berikan
dalam bentuk lain seperti makanan, pakaian dan sebagainya.
Anak-anak ini bukan setakat memerlukan belanja sekolah tetapi
perbelanjaan untuk sakit demam dan kos menghantar mereka belajar
di luar negara. Jadi demi mereka, Kak Pah tak kisah walau apa
yang terjadi kerana Kak Pah tahu tuhan akan menolong niat murni
Kak Pah ini.
Pada 28 Mei ini, jam 8 malam, Kak Pah akan menjayakan
persembahan Hari Ibu bersama Mawi pula di Palace of the Golden
Horses, Sri Kembangan. Persembahan ini juga untuk tujuan
kebajikan seperti ini. Kak Pah juga sudah mula berlatih
dan akan menyanyikan 20 hingga 25 lagu yang kebanyakannya lagu
khusus untuk mereka yang bergelar ibu. Kak Pah juga akan berduet
dengan Mawi pada hari itu nanti. Harap peminat Kak Pah dan Mawi
dapat bersama-sama menghadirkan diri ke majlis ini.
|
|