|
SHARIFAH AINI LAYAK DIGELAR 'PERMATA NEGARA' oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu , 26 Ogos 2007) |
|
Empat puluh tahun - bukanlah waktu yang singkat. Beliau membina nama, mengukuhkan kedudukan dan memperjuangkan kerjaya seninya disulami episod suka duka. Masa terus beredar, beliau masih memegang takhta sebagai penyanyi unggul negara biarpun sering dihambat kontroversi. Keunggulannya sebagai anak seni lebih terserlah dengan kejayaan Konsert Muzika Arabia yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga hari bermula 16 Ogos lalu. Tiada apa yang perlu dipertikaikan semuanya sempurna di mata peminat. Dengan vokal lunak persembahan berwarna-warni serta penampilan yang anggun, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini selayaknya digelar 'permata negara'. Namun, beliau tak hidup dek puji, tak mati dek keji. Sikap merendah diri membuatkan dirinya terus dekat di hati peminat. Dan Konsert Muzika Arabia membuktikan perjuangan seni Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan kak Pah tetap unggul di mata dan hati peminatnya. Di sebalik itu, kak Pah pula sayu hati dengan sanjungan yang diterima biarpun sudah empat dekad berjuang.
Selain kak Pah, konsert anjuran Legend Shine Sdn Bhd turut dijyakan oleh Yasin, Habibah Yaacob dan Mastura Hassan. Persembahan mereka diiringi pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mirza Abdullah. Digelar Fayrouz Malaysia, kak Pah hanya ketawa mendengarnya. Beliau mengakui membesar dengan lagu Arab yang dipopularkan Fayrouz, malah sebuah lagu nyanyian penyanyi Asia Barat itu pernah diabadikan ke dalam bahasa Melayu. Jika masih ingat, lagu 'Di Malam Persandingan' yang diubah senikata pernah mengangkat namanya di persada seni tanah air sekitar tahun 70-an. "Fayrouz antara idola saya. Betapa saya ingin menemuinya tapi ia hanya impian yang tidak akan jadi kenyataan. Jadi saya abadikan sebahagian lagu nyanyiannya dalam konsert saya. Saya anggap gelaran 'Fayrouz Malaysia' sebagai penghargaan yang tidak ternilai buat diri saya tapi perlu diingat, panggil apa saja, saya tetap Sharifah Aini," katanya.
Kemunculan kak Pah selama tiga malam juga diserikan dengan sembilan gaun malam rekaan khas pereka terkenal, Jovian Mandagie pada malam pertama, diikuti Calvin Thoo dan Michael Shu. Beliau juga menggayakan aksesori jed, delima dan mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre berharga kira-kira RM30 juta sepanjang tiga hari itu. Namun paling menyerlah apabila kak Pah muncul dengan gaun merah rekaan Michael Shu di akhir persembahannya pada malam terakhir. Kedengaran segenap dewan bergema riuh rendah, malah ada juga terpegun melihat kejelitaan penyanyi berusia 50-an itu di segmen terakhir.
Hadir sama pada malam gala itu ialah Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, Pengerusi Legend Shine Sdn Bhd, Datuk Fuad Hassan dan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan isteri, Datin Noor Linda Abu Talib. |
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|