|
Jarang sekali dia bersuara apatah lagi
menegur kepincangan yang berlaku di dalam industri hiburan yang hanya
sekecil zarah ini. Namun atau dasar keprihatinannya serta dengan niat
untuk memperbaiki keadaan terpaksa juga biduanita tersohor, Datuk Sharifah
Aini membuka mulut menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya.
|
HIP:
Industri hiburan tanah air
kini dikatakan semakin nazak. Malah, sewaktu Anugerah
Industri Muzik ke-14 (AIM 14) yang berlangsung dua minggu lalu
turut menyaksikan penurunan jumlah album yang dicalonkan
berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga dengan masalah
jualan album juga dikatakan semakin tidak menentu. Justeru,
apakah ini bermakna industri hiburan kita bakal lenyap tidak
lama lagi? |
|
Sharifah Aini |
Diakui,
industri hiburan kita semakin lesu sejak kebelakangan ini.
Dengan masalah cetak rompak yang semakin bermaharajalela
ditambah kebanjiran artis dari program realiti menjadikan
industri hiburan kita semakin kehilangan fokus.
Cuba kita tanya dalam diri kita, artis yang
bagaimanakah yang ingin kita lahirkan? Mana mungkin kita dapat
mengesan penyanyi yang berbakat sekiranya undian SMS menjadi
ukuran. Bukan tujuan saya untuk menidakkan bakat yang
lahir dari program sebegini namun cukuplah dengan apa yang ada.
Kalau kita lihat, kebanyakan program realiti
tidak ikhlas dalam melahirkan bakat baru sebaliknya bermotifkan
kewangan. Ke mana perginya pelajar ini yang kononnya
berbakat selepas program terbabit tamat. Kita ambil contoh
program realiti Akademi Fantasia. Ada bekas pelajar yang
bagaikan terbiar saja dan tidak diketahui mengenai perkembangan
kerjaya seni mereka.
Yang disanjung dan dipuja hanyalah mereka yang
berada di tempat teratas manakala selebihnya ibarat melukut di
tepi gantang. Menjadi juara pun tidak menjanjikan apa-apa.
Lihat saja Faizal, yang menjadi juara musim keempat. Saya
tak nampak di manakah kedudukan Faizal, kecuali muncul sesekali
dalam sesebuah program dan majlis. Saya kasihan melihat
mereka kerana tidak diberi peluang menonjolkan bakat mereka dan
terus digantung tidak bertali. Macam Farhan, yang bagi
saya memang berbakat besar. Tetapi di manakah dia?
|
|
HIP:
Apabila ini
berlaku apakah ini bermakna pihak Maestro iaitu syarikat
pengurusan mereka tidak mengambil berat mengenai artis di bawah
jagaan mereka ataupun mereka sebenarnya terlepas pandang?
Atau mungkin artis itu sendiri perlu bekerja keras,
mempromosikan bakat sendiri tanpa perlu bergantung kepada
Maestro kerana mereka sendiri tahu ada ramai lagi artis yang
bernaung di bawah syarikat itu? |
|
Sharifah Aini |
Memang benar, ada kalanya
mereka tidak boleh nak selama-lamanya bergantung harap namun
kalau betul Maestro tidak mampu untuk menjaga anak-anak buah
mereka, apa kata lepaskan saja mereka seperti yang mereka
lakukan baru-baru ini. Berikan mereka peluang untuk
bergerak sendiri.
Ini tidak, mereka bukan saja
tidak dilihat diberi peluang tetapi juga diperam gara-gara ingin
menonjolkan bintang lain yang lebih memberi keuntungan.
Lagi satu, apa yang saya difahamkan, mereka juga meminta 25 atau
30 persen untuk setiap bayaran show yang mereka peroleh dan 40
atau 50 peratus jika mereka dikehendaki menjadi duta sesebuah
produk atau syarikat yang saya sifatkan keterlaluan.
Apabila saya berkata demikian, bukan bermakna saya sengaja
mereka-reka cerita tetapi ada di antara bintang AF itu sendiri
mengadu pada saya. Mungkin mereka menganggap saya seperti
ibu membuatkan mereka selesa untuk berkongsi cerita.
|
|
HIP:
Andai benar, mungkin ada cara
yang boleh dilakukan pihak Maestro menangani masalah ini? |
|
Sharifah Aini |
Bukan niat saya untuk menjaga tepi kain mereka
atau tunjuk pandai. Jauh sekali mencampuri urusan mereka.
Cuma saya harap pihak Maestro lebih profesional dalam
mengendalikan anak buah mereka. Biarlah mereka mencari
jalan sendiri. Mereka berbakat dan sayang andai bakat
mereka lenyap begitu saja. Pada pandangan saya, lebih baik
Maestro ikat juara dan naib juara saja dan benar-benar melabur
untuk mereka. Kita sudah penat juga dengar cakap-cakap
belakang bahawa yang kaya Maestro bukan artisnya. Sayalah
orang yang paling gembira apabila tahu yang artis kita kaya,
boleh benar-benar cari makan dengan bakat mereka.
Buat artis yang berada di bawah naungan mereka,
andai ada yang tidak puas hati, luahkan. Jangan disimpan
dalam hati. Kita kena berani buat keputusan dan andai kita
rasa di bawah naungan Maestro kita tidak akan ke mana-mana, bawa
berbincang dan capai kata sepakat yang mampu memuaskan hati
kedua-dua belah pihak. Saya bercakap atas dasar pengalaman.
Sebelum saya berada di tempat sekarang, saya juga seperti mereka
iaitu melalui pendakian hidup yang amat sukar. Jadi saya
amat memahami perasaan mereka. |
|
HIP:
Apabila kita
bercakap mengenai program realiti, apa yang dapat kita lihat
kecenderungan pengundi yang lebih melihat kepada paras rupa
berbanding bakat. Apa komen Datuk? |
|
Sharifah Aini |
Fenomena ini bukan saja berlaku kepada program
realiti tetapi juga menjadi masalah utama dalam industri hiburan
tanah air. Kalau kita lihat, sejak dulu hingga kini
masyarakat kita lebih mementingkan rupa fizikal berbanding bakat.
Malah, perkara serupa juga pernah diluahkan
penyanyi Adibah Noor apabila ada pihak yang memandang sinis
hanya kerana dia berbadan gempal. Begitu juga dengan apa
yang berlaku terhadap peserta AF5, Aizat minggu lalu.
Budak itu memang berbakat namun sayangnya tersingkir kerana
pengundi melihatnya hanya dari sudut fizikal semata-mata.
Sampai bila industri kita ini terus mewujudkan
budaya diskriminasi sesama artis? Kita perlukan bakat
untuk terus maju. Kalau kita lihat negara Barat, mereka
begitu menyanjungi penyanyi yang berbakat besar. Biar
bibir setebal lima inci pun andai dia menyanyi sedap dan
berbakat pastinya diberi peluang sama rata. Sebagai contoh,
Mariah Carey yang tubuhnya sering turun naik namun disebabkan
vokalnya, dia masih diminati sehingga kini. Jadi, saya
berharap sangat agar mentaliti masyarakat kita hari ini dapat
diubah dan pihak syarikat rakaman juga tidak seharusnya
menjadikan aspek rupa paras dan fizikal sebagai perkara utama
dalam memilih artis mereka. |
|
HIP:
Apa pandangan
Datuk mengenai Mawi dan siapa lagi yang Datuk rasa berpotensi
untuk pergi jauh dalam bidang seni suara? |
|
Sharifah Aini |
Mawi memang satu fenomena. Bertuah budak tu
... Memang betul, pada awal kemunculannya dulu,
ramai juga yang mempertikaikan suaranya. Tetapi kita tak
boleh mengharapkan keajaiban dalam tempoh tiga bulan di akademi
itu. Tetapi kini saya boleh lihat Mawi sudah banyak
berubah dari segi vokal. Malah dia juga semakin yakin
ketika membuat persembahan. Baguslah ... Yang penting
perlu ada sikap mahu belajar. Namun, saya harap masyarakat
dan peminat hiburan tak terlepas pandang beberapa lagi artis
seperti Farhan, Sean Ghazi dan Norynn Aziz. Macam Sean,
saya lihat dia memang berbakat besar. Frank Sinatra Malaysia.
Michael Buble pun ya ... Dia satu-satunya penyanyi yang
saya terpaksa beli albumnya. Memang hebat suara Sean.
Begitu juga dengan Norynn. Dia bukan saja cantik dan seksi
tetapi vokalnya memang ada sesuatu. Seperkara lagi, saya
begitu mengagumi Syafinaz Selamat. Kalaulah ada lagi AF
musim keenam, barangkali Syafinaz sepatutnya menjadi pengetua.
Dia tahu apa yang dia buat dan dia tahu apa yang dia kritik.
Memang profesional. |
|
HIP:
Terlanjur bercakap mengenai
syarikat rakaman, sejauh manakah peranan mereka dalam membantu
mengembalikan semula zaman kegemilangan industri hiburan seperti
yang pernah dikecapi suatu waktu dulu? |
|
Sharifah Aini |
Kalau kita lihat sekarang ini
terlalu ramai artis yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri
semata-mata kerana ingin muncul dengan album baru. Mengapa
ini berlaku? Puncanya pihak syarikat rakaman mendakwa
jualan album kurang memberangsangkan dan sebagai artis, album
adalah perlu untuk meneruskan kelangsungan dalam bidang ini.
Kalau adapun, mereka akan hanya
mengeluarkan album kompilasi kerana itulah saja cara untuk
mendapatkan keuntungan tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.
Kita tidak salahkan mereka kerana matlamat mereka memang mencari
keuntungan namun apa salahnya mereka ketepikan seketika soal
wang dan sama-sama memberi sokongan kepada industri seni.
Sebagai contoh, irama Melayu
tradisional ketika ini bagaikan dianaktirikan apabila tidak
banyak syarikat rakaman berminat untuk menghasilkan lagu
bergenre sedemikian. Justeru, apa salahnya mereka melabur
sedikit dengan mengeluarkan album bercorak seperti itu.
Usah difikir untung rugi kerana paling penting, sumbangan mereka
dalam memelihara khazanah negara.
Lagi satu sikap yang perlu
dikikis mereka adalah terus-terusan mempromosi artis dari luar.
Bukan kerana dengki namun mengapa kita perlu membuka pintu
kepada mereka yang secara terangan menutup pintu mereka buat
kita.
Begitu juga dengan fenomena
membawa konsert artis luar di negara ini. Bukan tidak
boleh tapi biarlah keutamaan itu diberi kepada artis tempatan.
Ini tidak, artis luar dengan mudah mendapat penajaan sedangkan
artis tempatan terpaksa mengemis semata-mata untuk menganjurkan
konsert sendiri. |
|
HIP:
Tetapi mereka
ada saluran lain kalau tak puas hati. Berapa banyak
persatuan hiburan yang kita ada? Bukankah isu sebegini
yang sewajarnya ditangani persatuan hiburan? |
|
Sharifah Aini |
Mengenai persatuan hiburan pun satu hal juga.
Maaf cakaplah, sejauh mana ketulusan orang yang menerajui
persatuan? Kebanyakannya cenderung untuk memenuhi agenda
sendiri. Orang melihat, orang bercakap, di kalangan ahli
saling bercakaran dan tikam menikam. Ada kalanya juga
orang yang tak berkenaan, yang tak sepatutnya berada dalam
persatuan mereka benarkan masuk jadi ahli dan lepas itu masuk
campur jadi tukang lagakan orang. Tak usahlah politikkan
dunia seni tanah air kita yang sudahlah terlalu kecil ini. |
|
HIP:
Apa pula
pandangan Datuk mengenai sesetengah persatuan hiburan yang
semakin kerap mencari dana untuk membantu artis veteran? |
|
Sharifah Aini |
Memang bagus nak cari dana untuk bantu artis
veteran. Yang penting adalah niat kita. Nak kutip
dana memang dialu-alukan dan ia satu niat yang murni.
Tetapi adakah itu saja matlamat sesetengah persatuan?
Kecoh sekejap dengan publisiti tetapi lepas tu, macam-macam juga
yang kita dengar. Ada yang dapat duit ada yang tak dapat.
Jangan mudah menabur janji dan mengharapkan hati atau putihkan
mata artis veteran. Kalau benar nak tolong artis veteran
yang daif, biarlah dibuat dalam jangka waktu yang panjang.
Siasat juga latar belakang mereka dan berikan kepada mereka yang
memang memerlukan.
Saya
juga kasihan dengan keadaan segelintir artis yang malang dan
dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Orang sebegini yang
patut kita bantu.
Seperkara lagi yang saya amati, macam sudah jadi
satu permainan sesetengah persatuan. Asal show, panggil
artis nyanyi free, gunakan mereka tetapi habis show, tanya
khabar pun tak mahu. Public relation very poor .... yang
makin kaya orang yang menerajui persatuan. Ini semua mesti
diambil kira. Benarkah persatuan itu bagaikan pohon yang
rimbun, bagaikan payung? |
|
HIP:
Anda akan muncul dalam sebuah
persembahan sempena sambutan hari Ibu pada 18 Mei ini. Boleh
ceritakan sedikit persediaan yang mungkin sudah dilakukan? |
|
Sharifah Aini |
Persediaan saya setakat ini seperti biasa membuat
latihan kerana saya akan menyampaikan berbelas lagu pada petang
itu. Banyak lagu malar segar yang akan saya dendangkan
termasuklah lagu yang bersesuaian dengan konsep majlis itu
seperti, Ibu, Kasihnya Ibu, Mama, Mawar Putih Untuk Mama
dan banyak lagi.
Apa
yang saya harapkan dalam persembahan ini adalah peminat semua
terhibur dengan nyanyian saya. Mereka bayar mahal untuk
menyaksikan pertunjukan ini dan saya perlu memberikan yang
terbaik untuk mereka. |
|