|
SHARIFAH AINI DIIKTIRAF BIDUANITA NEGARA oleh Rozdan Mazalan (Berita Harian - Jumaat, 29 Disember 2006) |
|
Pembabitan selama 40 tahun dalam industri muzik dan seni suara tanah air adalah sumbangan besar anak seni ini, Datuk Sharifah Aini, 55, apabila menerima penganugerahan tertinggi oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) pada majlis Anugerah Kecapi 2006 sempena Malam Semarak Kasih, baru-baru ini.
"Namun, saya kurang pasti sama ada saya berhak menerima anugerah ini. Bagaimanapun, perlu saya akui, saya menyanyi bukan kerana wang. Kemungkinan pada awal pembabitan saya menyanyi pada awal era 1970-an memang kerana wang tetapi apa yang saya lakukan sekarang kerana minat dan cinta terhadap industri ini. Saya akan tampil dengan album baru pada 2007. Doakan album itu berjaya dan diterima semua peminat yang selama ini sentiasa menyokong kerjaya seni saya. Saya juga berjanji dengan nama Allah sekiranya sasaran penjualan album saya mencapai apa yang diimpikan, saya akan membawa 200 orang untuk bersama menunaikan ibadah haji,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkasnya pada majlis itu yang diadakan di Hotel Sunway Lagoon Resort, Bandar Sunway, Petaling Jaya. Kak Pah menerima trofi yang disampaikan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon.
Beliau kini sentiasa setia bersama syarikat
rakamannya sejak dulu, EMI dan mempunyai 97 album rakaman mahupun koleksi
terbaik yang berjaya mendapat sambutan baik. Selain merangkumi lagu
berbahasa Melayu, beliau pernah merakam lagu dalam bahasa Inggeris dan Arab
manakala lagunya juga terdiri daripada genre seperti pop, asli, joget,
ghazal, inang, keroncong, zapin, deli hinggalah ke nasyid. Sempena anugerah itu, lebih 30 penerima lain yang terbabit dalam bidang nyanyian, penciptaan lagu, muzik dan lirik turut diberi penghargaan. Anugerah Kecapi Papita diadakan lima tahun sekali menerusi pemilihan daripada panel berdasarkan ciri sumbangan, kejayaan dan pencapaian dalam tempoh berkenaan. |
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|