Vokal lantang
dan lunak menjadi aset utama biduanita evergreen Sharifah Aini bagi memukau
ratusan peminat yang hadir menyaksikan persembahannya di Saloma Bistro &
Theatre Restaurant, Kuala Lumpur, Selasa lalu. Sharifah atau kak Pah tampak
begitu anggun dan bergaya dengan kebaya hijau pucuk pisangnya. Beliau
nyata bersedia untuk membuat persembahan pada hari itu selepas berlatih
beberapa lama termasuk meminta pandangan wartawan hiburan dalam memilih
repertoire yang sesuai untuk dialunkan.
Nyata
lagu pembukaannya,
Irama Cintaku, begitu
mengimbas nostalgia kerana ia amat jarang dinyanyikannya dalam mana-mana
persembahan. Irama Cintaku
adalah lagu saduran yang pernah kak Pah rakamkan dalam album solonya sekitar
1974. Selepas lebih 35 tahun bergelar penyanyi dan penghibur, Sharifah
Aini nyata tidak menghampakan peminatnya yang terdiri daripada setiausaha
bersama majikan masing-masing pada tengah hari itu. Seperti biasa,
celotehnya mencuit hati. "Saya mahu berkongsi kegembiraan dengan anda
semua. Sepanjang 35 tahun saya naik dan turun dan saya tetap survived.
Bagi saya apa saja kita perlu tabah ... so be strong!" katanya yang diiringi
pemuzik berpengalaman, Syed Sobrie.
Kak Pah bukan
saja membawakan lagu Melayu termasuk irama asli malahan tidak melupakan lagu
Inggeris seperti nyanyian Marc Anthony dan Bee Gees. Antara lagu Inggeris
itu ialah How Deep Is Your Love,
Don't Forget To Remember,
Smile,
Love Letter
dan I Need To Know.
Lagunya sendiri yang tidak lapuk dek hujan ialah
Bunga Tanjung,
Kau Pergi Tanpa Pesan,
Gunung Banang
dan Kau Racun Hidupku.
Kak Pah juga tidak melupakan lagu Broery Marantika,
Sendiri
serta lagu merdu Tan Sri P Ramlee, Tunggu
Sekejap.
Tidak dinafikan,
persembahan Kak Pah walaupun tidak selincah artis lain, tetap ada kelas
tersendiri dan menghiburkan. Selain diiringi tiga penyanyi latar, kak
Pah turut menjemput peminatnya naik ke pentas dan antara mereka ialah pereka
fesyen Tom Abang Saufi. Ketika ditemui selepas persembahannya berkata
beliau cuba memberikan yang terbaik kepada peminatnya terutama kelompok
setiausaha yang diraikan. "Saya mahu berikan yang terbaik dan wajar dengan
apa yang mereka belanjakan hari ini. Saya berusaha untuk menghadiahkan
sesuatu yang istimewa kepada mereka yang sentiasa menyokong perjuangan saya
selama 35 tahun ini," ujar kak Pah.
Apa yang jelas, kemunculan Kak
Pah pada hari itu sesuai dengan kemaraannya dalam dunia hiburan. Tidak lama
lagi album solo terbarunya akan muncul dan ia memuatkan banyak lagu hebat
karya M Nasir dan Ajai.
|