|
RESAH YANG TERLERAI oleh Nurulhisham Abdul Latiff (Berita Minggu: B Pop - 25 April 2010) |
||
|
Suasana pada malam persembahan amal Up Close And Personal with Datuk Sharifah Aini agak pilu apabila permata seni negara itu meminta ibunya, Sharifah Nor Syed Jaafar memperjelaskan segala keraguan serta memadamkan fitnah yang tersebar sekian lama. Keraguan yang selama ini mendatangkan rasa resah pada dirinya kerana pada suatu ketika beliau digambarkan sebagai anak yang lupa diri sehingga sanggup menyaman selain memukul ibunya sendiri. "Ani anak yang baik, Ani tidak pernah memukul Ummi. Ani juga suka melakukan amal jariah," itulah kata-kata yang dizahirkan oleh Sharifah Nor yang turut hadir menyaksikan anaknya membuat persembahan amal di Hotel Concorde, Kuala Lumpur minggu lalu. Terharu dengan kata-kata diungkapkan itu menyebabkan Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah terus memeluk erat ibunya bersama linangan airmata. |
||
![]() |
Memang aksi dua beranak itu mengundang rasa sebak di kalangan penonton yang memenuhi dewan utama hotel ini. Barangkali ini pertama kali mereka melihat sendiri betapa kasihnya seorang ibu kepada anaknya. kata Sharifah yang cukup mesra dengan panggilan Kak Pah, jika beliau anak yang tidak menghormati ibu bapa, sudah tentu kehidupannya tidak akan diberkati seperti mana sekarang. Jadi, pada malam itu, penghibur malar segar itu membiarkan ibunya sendiri menjelaskan kepada orang ramai, betapa insiden terbabit tidak pernah terjadi. Pada persemabah sama, Biduanita Negara ini turut berkongsi kisah lama yang mungkin tidak pernah diketahui peminat. Sebelum sesebuah lagu didendangkan, dengan rela hati bercerita mengenai pengalaman masa silam, termasuk kisah cinta dan perkahwinan, kenangan ketika mengadakan persembahan di karnival dan kawasan pendalaman. |
![]() |
|
PERNAH BERTUNANG DENGAN JURUTERBANG
Ketika dia ingin menyanyikan lagu Yang Sangat Ku Sayang (1986), dia memaklumkan hadirin dirinya pernah berkahwin sebanyak dua kali. "Perkahwinan pertama meninggalkan saya dengan sesuatu yang cukup bernilai, Aliff, yang kini belajar di Madinah. Selepas perceraian pertama, saya ke sebuah bank untuk membuat pinjaman bagi membeli sebuah rumah. Ketika itu saya masih dalam edah. Siapa yang menyangka, ketika itu saya akan bertemu dengan lelaki yang bakal berkongsi hidup dengan saya? Dia seorang pengawai bank. Pertemuan itu tidak membawa kepada apa-apa. Kemudian, kami terserempak lagi dan dia mengajak saya keluar makan tengahari. Dia berterus-terang untuk menjaga saya. Sepuluh hari kemudian, saya terima lamarannya," katanya.
Tidak lupa dikongsi ialah pengalaman lucu sewaktu dia diundang menjayakan persembahan di sebuah kawasan pendalaman di Sarawak. Sebagai memenuhi janji, seorang wakil rakyat mengundangnya menghiburkan penduduk tempatan di sana. Untuk tiba ke lokasi terbabit, dia perlu menaiki bot selama dua jam. "Sampai saja di kampung itu, saya disambut bagai menteri. Di situ, saya ditempatkan di sebuah rumah. Tiba waktu persembahan, saya perlu menaiki sampan kecil, yang boleh memuatkan dua orang pada satu-satu masa. Maka saya menaiki sampan itu dengan baju glamor, kerana di kawasan pentas tidak disediakan bilik persalinan. Malam itu, saya nyanyi sampai 35 lagu. Lagu Kudaku Lari pun dinyanyikan lima kali. Saya pula menari agak ligat malam itu, kerana kelkatu penuh dalam kain." cerita Sharifah disambut ketawa hadirin. Pada persembahan di dewan utama hotel terkemuka itu, biduanita terbabit menyampaikan lebih 30 lagu, dengan iringan empat pemuzik dan tiga penyanyi latar. Antara lagu lain yang didendangkan ialah Hapuslah Airmatamu, Kini Hatiku Telah Tertawan, Cemburu, Ingatan Manis Di Bulan September, Tiada Maaf Bagimu, Daun Daun Berguguran, Kenangan Indah, Wulan, Terbang Helang, Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung. |
||
|
TERUS BERAMAL SELAGI TERDAYA Diikutkan hatinya, Sharifah Aini ingin berbakti kepada banyak lagi rumah kebajikan yang menempatkan anak yatim dan kanak-kanak tahfiz. Namun, apakan daya, kekurangan sokongan daripada penaja membantut hajatnya untuk berbuat demikian. Lalu, dengan kudrat sendiri serta beberapa teman, dia mengadakan beberapa siri persembahan yang membolehkannya menyalurkan sedikit sumbangan kepada rumah amal berkenaan. Penghibur dan penyanyi itu mengadakan persembahan makan malam amal Up Close and Personal with Datuk Sharifah Aini, yang dibawakan oleh Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management, dengan sokongan Hotel Concorde, dengan 30 hingga 40 peratus daripada kutipan malam itu akan disalurkan ke Rumah Ijabah Anak Yatim & Al Hafiz, Subang Jaya. Sebelum ini, beliau pernah mengadakan persembahan lebih kurang sama dengan pungutan kira-jira RM20,000 diserahkan kepada sebuah lagi rumah amal tahfiz.
Bagitupun, katanya, sumbangan kepada pihak lain sudah tentu akan diteruskan. Pada 28 Mei nanti, umpamanya, beliau akan muncul dalam persembahan sempena Hari Ibu, dengan kutipannya bakal dihulurkan kepada pesakit kanser. Pada musim Aidilfitri ini pula, beliau bersama-sama Datuk Ahmad Jais bergandingan dalam persembahan Nostalgia 60-an, pada tarikh dan lokasi yang akan diumumkan kemudian. "Jika kita membantu anak-anak tahfiz ini, sekurang-kurangnya kita dapat melihat mereka melangkah lebih jauh dalam pengajian. Sebahagiannya berpeluang menyambung pengajian ke Afrika dan Timur Tengah. Duit yang mereka dapat itu akan menolong anak-anak pergi lebih jauh lagi." ujarnya. Dalam persembahannya sebelum itu, Sharifah berkata, sememangnya dia gemar membantu kanak-kanak, tidak mengira bangsa dan agama. "Merekalah sebenarnya masa depan kita. Dengan membantu mereka sekarang, kita berdoa agar mereka mampu lahir sebagai generasi lebih mulia pada masa akan datang. Sudah tentu, sebagai ibu bapa, kita bimbang melihat pelbagai gejala yang menyelubungi kehidupan masyarakat hari ini. Jadi, saya terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sosial membantu kanak-kanak ini," katanya. |
||
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|