|
RAHSIA LAGU DODOI SI DODOI oleh Rozdan Mazalan (Berita Harian - Selasa, 1 Jun 2010) |
|
|
Persembahan To Mum With Love undang nostalgia dan kerinduan Datuk Sharifah Aini terhadap Aliff Omar Apabila tiba bab meraikan ibu dengan lagu, serahkan saja kepada Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini kerana himpunan lagunya yang berkisar mengenai kasih sayang seorang ibu sudah cukup untuk membuai wanita bergelar ibu sepanjang malam. Ditambah pula hidangan enak dan suasana dalam Royal Ballrooom, Palace of the Golden Horses malam Jumaat lalu, tetamu yang sudah pasti adalah peminatnya bagaikan tidak berganjak dari tempat duduk menyaksikan persembahan To Mum With Love yang juga menyaksikan kemunculan Mawi. Berbekalkan vokal gemersik dan lemak merdu, penyanyi malar segar yang lebih mesra disapa Kak Pah itu pantas mengingatkan tetamu agar sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu. Hati kecil ibu tunggal kepada Aliff Omar ini begitu tersentuh apabila membicarakan perihal ibu ketika menjayakan konsert yang berlangsung hampir dua jam setengah itu. |
|
|
Setiap satu lagu yang didendangkan pastinya berkaitan ibu, lebih-lebih lagi susunan 10 lagu pada awal persembahannya adalah berhubungkait dengan kasih, sayang, pengorbanan malah kesengsaraan seorang ibu membesarkan anak. Lagu seperti Ibu (Allahyarham P. Ramlee), Mawar Putih Untuk Mama, Ku Pohon Keredhaanmu, Air Mata Kasih, Kasihnya Ibu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Mama Oh Mama dan Dodoi Si Dodoi begitu menusuk kalbu penangan vokal gemersik Kak Pah, sehingga ada penonton yang menitiskan air mata. Seperti biasa, Sharifah Aini akan berkongsi pengalamannya, baik sebelum mendendangkan lagu atau sebaik saja menghabiskan bait-bait indah lagunya. Jika sudah 42 tahun berjuang di dalam industri seni sudah tentu pengalaman yang dikutip tidak menyamai artis tanah air yang lain. Inilah kelebihan yang dimiliki satu-satunya permata seni negara yang dikenali dengan vokal merdunya sejak di era 60-an lagi.
Malam itu peminatnya tidak hadir bersendirian kerana masing-masing ditemani ibu bagi meraikan hari yang penuh bermakna itu. Segmen cabutan nombor tuah yang menyediakan hadiah tajaan pihak POTGH dan Habib Jewels Sdn Bhd juga menghangatkan suasana majlis. Kehadiran Dee berjaya menghangatkan suasana. Biasalah Dee yang gemar mengenakan busana wanita lengkap dengan aksesori dan kasut tumit tinggi mengundang hilai tawa hadirin. Mawi yang hadir bersama isterinya Ekin, dipertanggungjawab untuk membuka persembahan To Mum With Love dengan lima lagu popularnya iaitu Allah Habibi, Ibu (versi asal judul Ayah), Kian dan Lagu Jiwa, Lagu Cinta.
Barangkali kalau ada yang terkilan pun malam itu adalah apabila tiada segmen yang menggandingkan Biduanita Negara itu dengan Mawi. Hadirin tertunggu-tunggu juga mahu melihat duet Mawi dan Kak Pah tetapi hampa kerana sampai sudah, mereka tidak digandingkan sedangkan gandingan itulah yang ditunggu-tunggu. |
|
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|