|
PERUBAHAN ZAMAN DAN WAKTU TIDAK MENGGUGAT SHARIFAH AINI oleh Emma (Media Hiburan, 12-18 Oktober 1996) |
![]() Walaupun pembabitannya dalam bidang seni suara melebihi suku abad, namun namanya tetap harum sehingga hari ini. Nama Sharifah Aini bukan saja dikenali di kalangan peminat-peminat yang mengenalinya sejak 31 tahun lalu, malahan generasi muda juga merupakan sebahagian daripada peminatnya. Itulah kelebihan Sharifah Aini. Biarpun ada yang kata, Sharifah Aini tak boleh nyanyi. Lucu juga, penyanyi macamana lagi agaknya yang boleh dikatakan penyanyi."Kak Pah bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan kak Pah kelebihan suara jika dibandingkan dengan orang lain. Dengan kelebihan itu jugalah kak Pah mampu berkecimpung dalam bidang ini. Bukan itu saja malah kak Pah boleh membawakan lagu dari pelbagai rentak. Ketahanan saya juga banyak dibantu oleh penggemar saya. Sebab itulah jika ada kesempatan teringin sangat nak bertemu muka dengan peminat-peminat di seluruh pelosok desa dan di mana saja yang mengenali kak Pah. Kalau boleh kak Pah nak buat show besar yang mampu ditonton oleh semua orang. Sekurang-kurangnya dua jam setengah." Ujarnya sepanjang bersamanya selama dua hari di Kuantan. Dan sebelum itu kami bertemu di pejabat MH.Sharifah Aini, mahu suaranya didengar oleh semua golongan. Tak kira pangkat dan kedudukan kerana dia tahu, dia mempunyai pengikut tersendiri dari setiap golongan. Justeru itu jugalah Sharifah Aini tidak rasa janggal untuk menyanyikan semula lagu-lagu dendangan penyanyi baru seperti kumpulan Slam dan UK's. "Tak salah kalau kita mendendangkan semula lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi lain. Sekarang inipun ramai penyanyi yang mendendangkan semula lagu-lagu lama, tapi janji jangan sampai merosakkan lagu-lagu asal itu. Kak Pah memilih lagu-lagu dendangan Slam dan UK's kerana lagu-lagu itu menarik." Menurut Sharifah Aini, Slam dan UK's mempunyai peminat tersendiri dan mereka ramai dari kalangan muda. Jadi lagu sama didendang dalam gayanya sendiri boleh memikat peminatnya yang mungkin tidak dari golongan yang sama dari dua kumpulan ini. Secara tidak langsung dia mengembangkan mesej dalam lagu itu dan turut mempopularkan pencipta dan penyanyi asalnya.
|