|
NALURI KEIBUAN SHARIFAH AINI oleh Norliza Mohamad Zakaria (Utusan Malaysia - Rabu, 9 Jun 2010) |
|
Sengaja memancing rasa hadirin, penonton dibiarkan ternanti-nanti kehadiran penyanyi yang cukup sinonim dengan panggilan Kak Pah itu sementelah hidangan malam tersedia untuk dinikmati berlatarkan muzik serta lagu-lagu rakaman penyanyi itu. Atmosfera dewan bagaimanapun tidak sunyi dengan gelak ketawa apabila hos pada malam itu, Dee memecah keheningan suasana dengan celotehnya. Hanya sekitar pukul 9.30 malam, biduanita itu muncul dengan busana biru terdandan cantik dalam kerdipan aksesori tajaan Habib Jewel. Usai tentang persembahan, jelas terpancar naluri keibuannya Sharifah Aini tatkala menghiburkan penonton yang hadir. "Ibu-ibu boleh menjaga anak-anak mereka yang ramai malah berkorban masa dari pagi sampai ke malam membesarkan mereka namun, masih lagi terdengar kisah bahawa anak-anak yang ramai tidak mampu menjaga ibu seorang. Mereka yang masih lagi mempunyai ibu, hargai dan tunjukkanlah kasih sayang kepada mereka. Saya tidak dikurniakan oleh Allah untuk mempunyai anak yang ramai. Kalaulah saya boleh putarkan semula waktu ke 20 tahun yang lalu pasti saya akan melahirkan ramai anak," kata Kak Pah memulakan bicara. Memohon penonton mendalami senikata lagu, Ibu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, persembahannya dibuka dengan lagu tersebut dengan iringan muzik oleh penyanyi popular sekitar tahun 80-an, Syed Sobri. Antara lagu-lagu yang turut dipersembahkan oleh Kak Pah pada malam tersebut ialah Mawar Putih Buat Mama, Ku Pohon Keredaan Mu, Tiada Kata Secantik Bahasa, Kasihnya Ibu, Cintaku, Di Mana Ku Cari Ganti, Oh Di Mana, Ingatan Manis Di Bulan September, Bunga Tanjung, Kau Racun Hidupku dan Dekatlah Padaku. Turut dipersembahkan ialah lagu Inggeris popular nyanyian Bryan Adams iaitu Love of Woman, Wulan, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Dodoi Si Dodoi. Sebelum itu, Mawi menguasai ruang tengah pentas menghiburkan lebih 1,000 tetamu menerusi lagu barunya yang berentak Arab, Allah Habibi. "Inilah detik yang saya tunggu selama ini untuk berkongsi pentas dengan penyanyi yang saya cukup kagumi. "Biarpun gambar saya pada poster kecil, namun besar maknanya buat saya," kata Mawi. Lagu lain yang turut dinyanyikan oleh Mawi ialah lagu Ayah yang ditukar lirik kepada Ibu, Kian dan Lagu Jiwa lagu Cinta. Berbekalkan vokal gemersik dan lemak merdu, penyanyi malar segar yang lebih mesra disapa Kak Pah itu pantas mengingatkan tetamu agar sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu. Hati kecil ibu tunggal kepada Aliff Omar ini begitu tersentuh apabila membicarakan perihal ibu ketika menjayakan konsert yang berlangsung hampir dua jam setengah itu. |
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|