|
Untuk membawa artis hebat seperti Sharifah Aini belayar di samudera, ia juga memerlukan kapal yang hebat. Jadi pilihan terbaik adalah SuperStar Virgo - kapal pesiaran mewah antara yang terbesar di rantau Asia-Pasifik. Lalu pada 5 dan 6 Oktober lalu, Diva Evergreen itu menghabiskan waktunya selama hampir 20 jam untuk bersantai di atas 'hotel terapung' seberat 76,800 tan itu yang menyusuri perairan biru Selat Melaka, bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor hinggalah ke World Trade Centre Port, Singapura. Lebih istimewa, Sharifah yang lebih mesra dengan nama kak Pah dan kak Ani di kalangan wartawan, meluangkan masanya bersama 25 peminat bertuah yang terpilih menerusi peraduan anjuran Bi-Pop (Berita Minggu), Pancaindera (Mingguan Malaysia), Radio Era dan Cit Cit Azwan.
Keceriaan jelas terlukis di wajah Biduanita Awet Muda itu apabila buat kali pertama menyertai program istimewa anjuran EMI Malaysia - syarikat rakaman yang dinaunginya sejak lebih 30 tahun lalu. Acara itu turut mendapat tajaan syarikat pemilik SuperStar Virgo iaitu Star Cruises serta Keretapi Tanah Melayu (KTM). Bagi meraikan Sharifah dalam pelayaran itu, boleh dikatakan semua 'orang penting' EMI 'naik kapal'. Ini termasuklah Naib Presiden Kanan EMI (Asia), Beh Suat Pheng; Pengarah Urusan EMI Malaysia, Darren Choy; Pengarah A & R, Mohd Arzmy Mohd; Pengurus Kanan Promosi, Normahiran Yusoff; Pengurus Kanan Pemasaran, Erland Kok; Penolong Pngurus Promosi, Shima Nekmat serta kakitangan lain termasuk Ikmal, Wan Kamaruddin, Yusri dan Alan Khoo. Turut menyertai rombongan itu ialah sekumpulan editor serta wartawan hiburan tempatan selain beberapa teman karib penghibur itu.
Pada hari pertama, sesudah rombongan 'check-in' di atas kapal 13 tingkat itu, acara dimulakan dengan sidang media album 'Enhanced CD Seribu Mawar' di lounge Galaxy of Stars. Diva itu muncul dengan fesyen berkemeja, jeans dan mengenakan pashmina merah jambu - ringkas tetapi anggun. Suasana tidak sunyi dengan hilai tawa kerana ada saja perkara lucu. Usik mengusik antara pengacara 'tak sayang mulut', Azwan Ali, Sharifah serta peminat membuatkan tetamu tidak kering gusi. Malah kegembiraan Sharifah begitu ketara sehingga suatu ketika, dia tergelak besar sampai terjatuh dari kerusi !. Namun dalam berseronok-seronok itu pun, penyanyi 'Bunga Tanjung' itu membacakan sendiri doa selamat supaya pelayaran mahupun perjuangan seninya mekar dengan kesejahteraan.
Pada sebelah malam, tetamu dihiburkan dengan persembahan beliau menerusi 'showcase' di Auditorium The Lido. Selama hampir sejam, Sharifah mengalunkan lagu terbarunya seperti 'Resah Bersalam', 'Seribu Mawar' dan 'Nour El Ain' serta lagu hit 'Bunga Tanjung, Dekatlah Padaku' dan 'Kau Pergi Tanpa Pesan'. Dia tidak ketinggalan menyanyikan lagu Inggeris 'Crazy', 'Blue Bayou' dan 'Have You Ever Really Loved A Woman'.
Pada hari kedua, rombongan selamat tiba di jeti Star Cruises di World Trade Centre Port, Singapura. Agenda diteruskan dengan sesi bertemu peminat di Tower Records, Suntec City, jam 6 petang. Ramai juga peminat di republik itu muncul mendapatkan tandatangan serta bergambar dengan penghibur kesayangan mereka itu. Tepat jam 10 malam, rombongan akhirnya bertolak kembali ke Malaysia dengan kereta api Senandung Malam dari stesen Tanjung Pagar. Walaupun keletihan, hati puas. |