KONTROVERSI SIFAR(Berita Minggu: Bi Pop, 25 April 2004) |
|
PPCC5 yang bertemakan 'Jang oh Jang...' menempa sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya ia berjaya menghimpunkan hampir 100 artis dan selebriti popular yang memberikan komitmen, selain keutamaan kepada usaha Azwan Ali Productions Sdn Bhd (AAP) walaupun pada hari yang sama turut berlangsung acara Sure Heboh TV3 di Alor Setar, Kedah dan promosi bergerak Anugerah Industri Muzik 2004 (AIM2004) di Shah Alam, Selangor. Buat pertama kali juga Azwan menerima kehadiran diva bersuara emas, Datuk Sharifah Aini sebagai tetamu VIP pada PCC5 selepas Sharifah menyertai rombongan Cit Cat ke Perth, Australia, Julai tahun lalu.
Selain Sharifah, rakan artis yang turut
mengotakan janji hadir ke PCC5 termasuklah Amy Mastura, Ella, Erra Fazira,
Ezlynn, Nora, Vince, Bintang Akademi Fantasia (Liza, Atie, Azza, Nija, Sahri,
Adi dan Azizi), Sheila Rusly, Juliana Banos, Boboy, Chef Wan, Serina
Redzuawan, Siti Nordiana, Achik Spin, Elyana, Flop Poppy, X Factor, Phyne
Ballerz, Hazami, Fazley, Azharina, B'yu, Naufara, Julie Dahlan, Ras Adiba
dan Nurfatimah.
Akhirnya PCC5 menuju ke acara kemuncak apabila semua artis bergaya glamour untuk menjayakan Anugerah Malam Gala Gemilang PCC5 yang bermula tepat jam 8.45 malam dengan perarakan artis ke meja khas dalam Grand Ballroom RAS yang tersergam indah. Bersesuaian dengan tema PCC5, 'Jang oh Jang...' tirai Malam Gala Gemilang PCC5 dimulakan dengan persembahan drama tari menerusi lagu Apo Kono Eh Jang, diikuti nyanyian bertenaga daripada penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan, Ito & The Gang, menyampaikan lagu 'Apo Nak Dikato'. Tetamu kehormat pada malam itu ialah isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad iaitu Puan Sri Hazizah Tumin. Malam Gala Gemilang PCC5 dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Penerangan dan Pelancongan Negeri Sembilan, Datuk Zakaria Nordin. Turut hadir ialah barisan anggota exco Negeri Sembilan; Pengarah Urusan RAS, Datuk Dr Rahiman AS Dawood; Pengerusinya, Datuk Azhar Hashim; Pengarah Hal Ehwal Korporat Astro, Tengku Anuar Mussaddad dan Pengurus Kanan Program Melayu Astro, Rozina Aziz. Bersama pengacara majlis, Sheila Rusly, kebanyakan artis yang hadir menjayakan persembahan. Antaranya ialah Amy Mastura mendendangkan lagu Sha Na Na, Erra Fazira (Hanya Di Mata), Bintang Akademi Fantasia (Ku Bahagia), Ezlynn (I Will Survive), Ruffedge (Tipah Tertipu) dan Nora (Gerhana Kasih), sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000 sumbangan Lux selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik Vokal. Paling istimewa ialah persembahan duet daripada Azwan dan Sharifah yang mendendangkan lagu Seiring dan Sejalan yang mendapat tepukan serta sorakan gemuruh penonton. Seperti kelazimannya, menerusi PCC5 Azwan menyediakan 13 Anugerah Mulut tajaan Ukir, syarikat komputer tempatan. Anugerah utama Malam Gala Gemilang PCC5 ialah Artis Contoh yang menjadi milik Ratu Rock negara, Ella, diikuti Anugerah Diva Sepanjang Zaman (Sharifah). Anugerah lain termasuklah Peminat Popular (Azizah Tawang), PR Popular (Noryusnita Omar), Wartawan (Nor Akmar Samudin - Harian Metro), Pakaian Tercantik dan Artis Paling Jelita (Erra Fazira), Artis Paling Kacak (Hans Isaac), Artis Baru Cit Cat Paling Popular (SMS) (Ezlynn), Muzik Video Cit Cat Pilihan (SMS) dan Artis Paling Sensasi (SMS) (Akademi Fantasia), Episod Paling Kontroversi (SMS) (Sheila Rusly), Artis Paling Laser (SMS) (Azwan Ali). Keesokan paginya, acara PCC5 diteruskan dengan sukaneka di sekitar kolam renang RAS. Azwan tetap tenang apabila berhadapan dengan situasi, ramai artis tidak hadir, mungkin kepenatan selepas menjayakan Malam Gala Gemilang PCC5. Acara seterusnya ialah perarakan artis dengan kereta antik tajaan Negeri Sembilan Classique & Antique Cars menuju ke Terminal One Shopping Centre, Seremban untuk menjayakan Konsert PCC5 bersama majalah Hai. Rombongan PCC5 diberi sambutan meriah dengan alunan pancaragam daripada pelajar Kolej Tunku Kursiyah, Seremban sebelum memasuki perkarangan Terminal One Shopping Centre. Bersama pengacara Zul Yahya, Konsert PCC5 dimulakan dengan acara memotong kek PCC5 bersama Pengurus Terminal One Shopping Centre, Henry John. |
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|