|
"Seorang
ibu boleh menjaga 10 anak tapi yang selalu berlaku, 10 anak itu tidak mampu
menjaga seorang ibu," kata-kata bermakna itu dilafazkan Biduanita Negara,
Datuk Sharifah Aini, apabila muncul di Grand Ballroom, Hotel Palace of the
Golden Horses, Jumaat lalu. Sambung Sharifah Ani atau Kak Pah lagi: "Jadi
bagi anda yang masih mempunyai ibu, selalulah meluahkan kasih sayang kepada
ibu anda dan kalau berada jauh, telefon ibu anda sekerap yang boleh."
Kemunculan terbaru Kak Pah pada malam itu adalah bagi menjayakan konsert
acara To Mom With Love, Mother's Day
Gala Dinner yang turut dijayakan
penyanyi sama-sama berasal dari Johor, Mawi.
Dalam
persembahan itu, Kak Pah bukan saja menyanyi, tetapi seperti selalu,
bercerita pengalaman suka dukanya sebagai penghibur sambil menyelitkan
kata-kata nasihat berguna bersama usikan nakal. Segala yang indah dan
agung mengenai ibu tergambar dalam lagu seperti Ibu,
Kasihnya Ibu,
Mama serta
Dodoi Si Dodoi. Memang kelunakan dan gemersik
vokal Kak Pah tidak pernah pudar, sesuai dengan kedudukannya sebagai
penyanyi legenda negara.
Malam itu Kak Pah mendendangkan lagu yang jarang disampaikan dalam
persembahan makan malam seperti Oh Di Mana dan lagu nasyid,
Ku
Pohon Keredhaan Mu. Beliau diiringi pemuzik dan penggubah handalan Syed
Sobrie dan tiga penyanyi latar. |
|
Dalam
dandanan mewah tajaan Habib Jewels, Kak Pah turut menghiburkan peminat
dengan melodi popularnya seperti Tiada Kata Secantik Bahasa, Air
Mata Kasih, Citaku, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Wulan,
When A Man Loves A Woman, Hapuslah Air Matamu, Dekatlah
Padaku, Jangan Tinggalkan Daku, Bunga Tanjung, Kenangan
Manis Di Bulan September, Surat Dari Seberang dan
Kau Pergi
Tanpa Pesan. Kak Pah juga meluahkan betapa dia kepingin memiliki
anak kandung seramai yang boleh, namun tetap reda Tuhan sudah menetapkan dia
hanya mampu melahirkan seorang anak saja. "Kak Pah bersyukur kerana
Tuhan menganugerahkannya seorang anak lelaki, Alif Omar, 28, yang masih
belajar di Madinah," katanya. Pun begitu, kerinduannya untuk menjadi
ibu kepada lebih ramai anak termakbul apabila mendampingi kira-kira 1,500
pelajar tahfiz di Lembah Klang.
Menyedari
anak kurang bernasib baik perlukan perhatian, Kak Pah terpanggil
menganjurkan majlis amal seperti itu dan mengajak peminat serta rakan
menghulurkan bantuan sekadar yang termampu. Sebelum Kak Pah muncul,
tetamu terhibur dengan telatah hos, Dee (Jangan Ketawa) yang selalu
bersamanya dalam persembahan makan malam. Lucunya, Dee pula yang menyalin
lebih banyak kostum berbanding Kak Pah dan turut bergaya dengan pelbagai 'mastora'
(intan berlian dalam loghat utara) tajaan Habib Jewels.
Antara
VIP yang hadir malam itu adalah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd,
Datuk Mior Kamarul Shahid dan isteri serta pemilik Habib Jewels sendiri,
Datuk Meer Habib bersama isterinya. Sebelum itu, tirai konsert itu
dibuka dengan persembahan Mawi yang menyanyikan lagu popularnya, Allah
Habibi, Serulah Namanya, Ayah, Kian dan Lagu Cinta Lagu Jiwa. Walaupun
beraksi secara minus-one, hadirin terhibur dengan vokal Mawi yang lunak.
Mawi yang turut diusik Dee berkata,
dia sebenarnya masih gugup dan gementar muncul di pentas walaupun sudah lima
tahun menyanyi. "Bertuahlah saya dapat berkongsi pentas lagi dengan
penyanyi kesayangan saya, Datuk Sharifah Aini. Sudah lama saya
menunggu saat ini sempena Hari Ibu dan ia sudah tercapai," kata Mawi. |