Jika
nak diikutkan, Makkah bagaikan rumah kedua kepada biduanita negara, Datuk
Sharifah Aini. Maklumlah, bukan sekali dua penyanyi evergreen ini
menunaikan umrah tetapi sudah 4 kali.
Namun tahun ini, umrah
Sharifah Aini lebih bermakna berbanding ibadah terdahulu kerana kali ini dia
tidak bersendirian, sebaliknya bersama peminat setia yang tidak pernah jemu
menyokong perjuangannya selama ini.
"Sepatutnya, saya menunaikan
ibadah haji tahun lalu tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana saya ada
kes mahkamah. InsyaAllah, jika ada rezeki, saya akan tunaikan ibadah
haji tahun depan. Tahun ini, saya memang bercadang menunaikan umrah
dan menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah kerana saya memang rindu untuk
kembali ke sana. Kali terakhir saya buat umrah ialah dua tahun lalu.
Justeru, bila ditawarkan Wild Orchid Studio Sdn Bhd (WOSSB) dan KSB Travel &
Tour Sdn Bhd (KSBTTSB) untuk menjayakan pakej umrah bersama peminat, ia
bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kerana sudah lama saya teruja untuk
menunaikan ibadah umrah bersama peminat saya. Sebenarnya, selain
permintaan peminat banyak syarikat bertanya sama ada saya ingin menjayakan
pakej umrah mereka tetapi akhirnya hati saya terbuka untuk menerima tawaran
syarikat ini dan ini mungkin rezeki mereka," katanya di majlis pelancaran
program umrah anjuran syarikat berkenaan di kediamannya di Petaling Jaya,
semalam. Hadir sama, Pengurus KSBTTSB, Zulkifli Muharam dan Pengurus
WOSSB, Siti Hajar Abd Kader.
Sharifah Aini berkata, hajat
besarnya ialah ingin mengaji untuk jemaah Malaysia di Makkah. "Saya
ingin duduk bersama jemaah dan mengaji untuk mereka sebagai hadiah kerana
sokongan kepada saya selama ini. Peminat selalu mendengar saya
menyanyi dan kali ini saya ingin mengaji pula untuk mereka. Saya
bersyukur kerana diberi kepercayaan menjayakan pakej ini walaupun pelbagai
dugaan berlaku pada saya tapi mereka masih ada kepercayaan dan tidak
menghukum saya. Pakej umrah ini juga permintaan peminat sendiri yang
ingin melakukan umrah bersama saya. Kata Siti Hajar, pada mulanya,
difahamkan syarikat ingin buat pakej ke Eropah bersama saya tetapi peminat
sendiri minta buat pakej umrah ini. Sambil buat umrah peminat boleh
mendoakan saya, itulah yang menyentuh hati saya untuk menjayakan program ini.
Saya ingin menghabiskan masa yang berharga bersama peminat di sana.
Beliau berharap, tidak ada
pihak mensesasikan hajatnya menunaikan ibadah dan umrah bersama peminat kali
ini. "Semoga saya dikurniakan kesihatan yang baik untuk melaksanakan
ibadah ini dan tidak timbul sebarang masalah nanti," katanya. Kata
Sharifah Aini lagi, sesiapa yang berminat sila buat tempahan segera kerana
tempatnya hanya dikhaskan kira-kira 120 orang saja. Setakat ini, 20
peminat sudah setuju untuk menjayakan program ini. Ia terbuka kepada
semua orang termasuk rakan artis yang berminat. Saya ingin program ini
lebih personal kerana saya ingin mengeratkan lagi silaturrahim dengan
peminat," katanya.
Sementara itu, Zulkifli
berkara, antara pengisian program, pakej umrah sembilan hari tujuh malan
yang bermula dari RM6,300 itu ialah menziarahi makam Rasulullah, Madinah,
Masjid Qubal, Jabal Uhud, Makam para shuhada dan Pasar Tamar.
Rombongan akan berlepas dengan pesawat Penerbangan Malaysia ke Jeddah pada 2
Oktober. Dari Jeddah mereka akan ke Madinah pula selama tiga malam.
Pada 5 Oktober, peminat akan menyambut Ramadan di Makkah dan berpuasa serta
melakukan solat tarawih," katanya. |