|
KENANGAN INDAH PEMINAT KAK PAH oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu, B Pop - 7 November 2010) |
|
Menyanyikan berpuluh-puluh lagu tanpa henti bukanlah sesuatu yang mudah, namun Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini mampu menghiburkan peminat tanpa 'suara pancit' atau 'semput' selama berjam-jam dalam setiap persembahan. Apabila sebut nama Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, kelunakan suara yang tidak pernah pudar menjadi perhatian ramai. Mungkin kemunculannya hanya sesekali di pentas, namun jarang mengecewakan hati peminat, sekaligus membuktikan vokal dan mutu persembahan Kak Pah sukar ditandingi penyanyi lain. Pada Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang, kak Pah bersama dua penyanyi undangan, Datuk Ahmad Jais dan Syazliana meninggalkan kenangan manis buat peminat, terutama pengikut setianya yang sanggup datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan seluruh pelusuk negara. Kak Pah menghiburkan lebih 400 tetamu selama hampir tiga jam tanpa henti dalam persembahan amal yang berlangsung di Hotel Seri Pacific pada malam minggu lalu. "Alhamdulillah, saya diberikan Allah swt kelebihan ini. Pengalaman menyanyi selama 42 tahun memungkinkan saya mampu melakukannya. Jujurnya, inilah diri saya. Menyanyi sekejap-sekejap memang rasa tidak puas, apatah lagi peminat yang mendengarnya. Sebenarnya malam ini sepatutnya saya berhenti menyanyi jam 11.30 malam, tetapi saya tidak sanggup menghampakan peminat, kesudahannya saya menyanyi lima lagu tambahan. Bagaimanapun, saya sudah menjangkakan, inilah yang selalu berlaku dalam setiap persembahan saya. Kalau ikutkan saya nak menyampaikan beberapa lagu berlainan, tetapi permintaan tetap pada lagu yang biasa saya nyanyikan seperti Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam dan beberapa lagu lagi. Saya bersyukur walaupun tampil dengan tiga persembahan amal sepanjang satu setengah tahun tetapi ia tetap mendapat sokongan peminat," katanya yang ditemui B*Pop selepas persembahan.
Dalam persembahan itu, Syazliana membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu Hob Kbeer, Kau Indah dan diikuti medley, Dia, Diriku Terbelenggu dan Sekadar Di Pinggiran. Ahmad Jais pula mengubat rindu peminat dengan suara lunaknya dengan mendendangkan lagu Cenderawasih, Gelisah, Lembaran Terakhir dan Di Ambang Sore. Seterusnya Kak Pah mengambil alih pentas dengan menyampaikan lagi Malam Dendangan Ria, Rahsia Hati, Terbang Helang, Sayangku (I Do, I Do, I Do), Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Di Malam Persandingan dan Nantilah Daku yang dipetik dari filem 70-an, Bawang Putih Bawang Merah.
|
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|