|
DIVA TENANG BERTEMANKAN BUKU oleh Roslen Fadzil (i-Kon: Berita Harian - Sabtu, 20 Disember 2003) |
|
|
|
Segala-galanya bagaikan sempurna. Susun atur perabot serta kebersihan di segenap inci rumah itu benar-benar melambangkan keperibadian pemiliknya. Sekali pandang, orang tentu dapat mengagak beliau seorang 'perfectionist'. Atas faktor keselamatan, penulis bagaimanapun tidak dapat menyatakan secara terperinci di mana kediaman ini tersergam indah tetapi cukuplah sekadar dikatakan banglo secantik istana hinggap ini terletak di pinggiran Kuala Lumpur. Setinggi dua tingkat, keluasan rumah ini (tidak termasuk lamannya) dianggarkan lebih kurang sama dengan lapan pangsapuri mewah.Di rumah redup berkonsepkan Inggeris, Latin dan Mediterranean inilah Datuk Sharifah Aini menetap bersama anak-anaknya. Dengan suasana tenang, cozy dan harum mewangi, keunikan banglo itu bagaikan menepati kata-kata pujangga 'Rumahku Syurgaku'. "Sudah 16 tahun saya tinggal di sini. Rumah ini amat bermakna kerana ia menyimpan banyak kenangan manis. Di rumah inilah anak sulung saya, Aliff Omar, membesar bersama adik-adiknya yang lain (merujuk kepada sembilan lagi anak angkatnya berusia antara 16 hingga 20 tahun). Sebenarnya rumah ini adalah hadiah pemberian bekas suami saya (Datuk Salleh) ketika kami hidup bersama dulu," ujar Sharifah dengan raut wajah segar dan sultry.Penghibur handalan itu mengakui, selama ini banyak permintaan datang daripada media tempatan dan negara jiran untuk mengambil foto di kediamannya itu namun beliau terpaksa menolak dengan baik atas sebab-sebab privacy. Pun begitu, khas untuk tatapan pembaca i-Kon, hati Sharifah akhirnya lebur apatah lagi sudah lama berjanji dengan penulis. Namun demikian, beliau masih keberatan untuk memaparkan wajah bilik tidurnya di tingkat atas kerana sewmua itu terlalu peribadi.
|