CETUSAN RASA DARI SHARIFAH AINI

oleh Huzz (URTV, 15 Jun 1994)

Lokasi: Hotel Istana
Bintang Ternama, Ratu Seni Suara, Penyanyi Evergreen, Penghibur Versatile, Elizabeth Taylor Malaysia, Penyanyi Kaya Tahi Lalat ... aduh, banyaknya gelaran yang diberikan kepada biduanita Sharifah Aini. Sejak kemunculannya di akhir tahun 60an dulu sebagai penyanyi album EP hinggalah album LP dan kini zaman CD, dia masih dihujani dengan pelbagai gelaran.
Kata beberapa penyanyi dulu-dulu, "Aini ni punya imej tersendiri. Berwajah cantik dan bersuara lunak. Penyanyi sepertinya akan bertahan sampai bila-bila. Tidak semua penyanyi boleh menjadi seperti dia. Kalau ada orang kata dia tu 'The Living Legend', tak saya hairan" celah seorang penyanyi sezamannya yang turut kagum dengannya sehingga ada penulis pernah menganggap dia sebagai legenda hidup.
Khas untuk Jubli Intannya selama 25 tahun bersama syarikat rakaman EMI, Huzz membawa pembaca URTV mengenal dekat biduanita ini untuk meninjau mengenai pengalaman dan sentuhan rasa darinya mengenai hidup. EMI Malaysia juga dikatakan akan meraikannya dalam Jubli Intan 25 tahunnya mungkin pada 2 Julai nanti sempena ulangtahun Aini. Dia akan menyambung kontrak rakaman lagi. Dialah penyanyi Melayu yang paling lama bersama EMI. Dia dianggap bagaikan harta yang membawa keuntungan kepada syarikat. Kerana itu Aini pernah menganggap, artis ibarat lilin membakar diri menerangi insan lain.

 

TERKENANGKAN DUA INSAN PALING BERHARGA
DALAM HIDUPNYA

 

MASUK KELUAR
MAHKAMAH

Ada yang beranggapan Sharifah Aini artis yang suka mengheret orang ke mahkamah. Apakah dia suka mendapatkan gelaran artis kaki saman? "Kak Aini naik turun mahkamah bersebab. Bukan nak tunjuk ego. Tapi berani kerana benar. Kak Aini menyaman surat khabar kerana mereka telah mencemar nama baik tanpa usul periksa," katanya. Bila kes antara dia dan ibunya dipersoalkan, Sharifah Aini sedar peminat-peminatnya ramai mengatakan air ditetak tak akan putus. Kerana itu ramai juga hampa ada surat khabar mengambil kesempatan untuk memburukkan nama baik seseorang dengan cara yang terlalu berani. Bahkan akibatnya, mengeruhkan lagi suasana hubungan penyanyi itu dengan ibunya yang dianggap mungkin berdamai kalau tidak kerana pendedahan buruk akhbar yang membuat dia merasa sedih dan malu. "Akibatnya ada yang tidak memahami, telah membenci kak Aini, Allah tahu siapa yang bersalah dalam hal ini. Siapa pun di dunia ini tidak akan mahu kisah buruknya jadi bualan dan hinaan kepadanya, apalagi yang tidak benar.

Kerana itu kak Aini terpaksa naik turun ke mahkamah menuntut saman malu di atas cerita memburukkan kak Aini. Sebetulnya kak Aini tidak suka nak saman-menyaman orang-orang surat khabar, tapi menyedarkan mereka betapa hidup ini kita perlu ada tanggungjawab dan usahlah 'menikam' orang hanya kerana kita sangkakan kita berkuasa sedangkan kita lupa Allah membenci sikap kita dan keegoan kita, takutilah akan azabnya, hidup kita ada peranannya. Bukan untuk memusnahkan hidup orang dan kemudian kita merasa megah kerana berjaya menghancurkan terus nama baik seseorang". Sharifah Aini tidak menyaman ibunya, malahan tidak memusuhi ibunya. Namun kerana adanya akhbar yang memainkan peranan memburukkan namanya, dia terpaksa bertindak terhadap penerbitan itu. Pun begitu. Sharifah Aini mengatakan, dia tidak membenci pihak akhbar berkenaan, sekadar saman malu.

Sharifah Aini bersama peguamnya

"Tidak mudah hidup sebagai saya. Maksud saya, menjadi Sharifah Aini sebagai seorang penyanyi. Saya amat bersyukur, Allah masih mengizinkan saya di sini dan mengekalkan kedudukan saya sebagai anak seni. Cita-cita saya yang dulu masih kembang di taman seni tanahair. Namun sebagai manusia yang dikenali, saya tidak menafikan hidup saya penuh dugaan. Penuh cubaan. Namun saya amat bersyukur Allah tetap menyayangi saya."
Dalam pertemuan di bilik mewah Hotel Istana petang itu, saya mengajak Sharifah bercerita mengenai dirinya, dunianya dan hidupnya. Sukar untuk berbual panjang dan lama dengannya untuk tulisan, selalunya dia menolak. Sering diingatkan, minum petang kita hari ini, jangan dibawa buku dan pen apalagi jurugambar. Tapi hari itu dia mengalah setelah saya mengatakan ramai yang masih rindu nak mendengar cerita terbarunya.

"Entahlah, ada ketikanya seronok duduk di rumah, Kalaupun di sini saya ingin berbicara, biarlah agar orang lain mengerti akan saya. Ramai masih belum mengerti diri saya. Ada mengatakan saya penyanyi yang semahal sebutir berlian. Ada juga yang menghina, kerana cerita buruk ditulis, membuatkan orang benci memandang saya. Hakikatnya terlalu banyak yang belum mereka kenali. Sayangnya kenapa ada yang mudah membuat hukuman (judgement) pada saya tanpa usul periksa. "

"Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada para wartawan yang selama ini memainkan peranan, membantu saya dan dunia seni. Sama ada yang buruk atau baik ditulis, saya mengucapkan terima kasih," katanya. "Sebetulnya saya amat bersyukur saya tidak menjadi Sharifah Chong! Saya pernah dihantar kepada keluarga Cina, sewaktu saya belum mengenal dunia. Saya menjadi mangsa perceraian (ayah dan ibu). Namun Allah menyelamatkan saya. Di saat begini, saya sering terkenangkan arwah emak dan abah (iaitu datuk dan neneknya).
Kerana itu saya masih terkenangkan arwah nenek dan datuk yang saya panggil abah dan emak. Kasih sayang mereka sebenarnya tulus pada saya. Bukan wang ringgit yang mereka mahukan. Merekalah kedua orang tua yang benar-benar bertanggungjawab. Memegang amanah Allah memelihara saya. Menjaga dan membesarkan saya. Walaupun kedua orang tua itu bukan kaya raya, susah, namun saya bahagia. Kerana itu bila saya jadi penyanyi, saya berusaha membahagiakan mereka. Kini mereka sudah pergi jauh dari saya. Tinggallah saya sendiri dan menghadapi pelbagai rintangan hidup tanpa mereka," katanya. Bergenang airmatanya mengenangkan arwah datuk dan neneknya. Huzz memang pernah menemui arwah datuknya. Baik dan mesra.
"Nak tahu Huzz, arwah abah Kak Ani tulah yang memberi dorongan kak Ani berjaya. Ingat lagi, tahun 1969, kami naik bas sama-sama, dia temankan kak Aini pergi rekoding. Masa tu dengan tocang dua ke studio rakaman EMI di Singapura. Arwah abah tu minat sangat lagu 'Seri Dewi Malam' nyanyian Normadiah. Kerana itu kak Aini merakamkan lagu yang turut membawa kak Aini berjaya sebagai penyanyi. Jam 10 malam baru habis. Komposer Kassim Masdor jadi penerbit album kak Aini waktu itu. Habis rakaman arwah abah ajak kak Aini pergi makan sate kat stesen keretapi. Dia restu kak Aini jadi penyanyi. Tapi dia tak pernah mengharapkan sesen balasan wang untuk kesenangannya. Begitulah arwah emak ... pengorbanannya besar. Sungguhpun bukan dia yang melahirkan, susah payahnya sangat kak Aini kagumi.
Merekalah yang memberikan asuhan dan didikan agama dan pelajaran. Kasih sayang mereka suci, pengorbanan mereka harum. Mereka ikhlas, bukan kerana wang ringgit mereka menuntut balasan sayang," berkali-kali dia berkata demikian. "Ada ketika bila mengenangkan mereka, kak Aini membacakan Fatihah dan doa, dan bila rindu memuncak, adakala memandu kereta ke Air Keroh. Memutarkan lagu-lagu kesukaan mereka. Menangis dalam perjalanan pulang ketika mengiringi matahari terbenam di tepian pantai," sedihnya.

 

INSAF DENGAN
PENDERITAAN
RAKYAT
BOSNIA
"Mendengarkan berita kisah peperangan di Bosnia dan ramai umat Islam, saudara-mara kita terkorban menyebakkan perasaan saya. Kita di sini harus bersyukur dan insaf. Kita tidak seperti mereka. Kehidupan mereka sangat menyedihkan, kezaliman Serb ternyata keterlaluan. Bagus kita di sini turut meluahkan rasa marah dan menentang," katanya bila diajak bicara mengenai masalah insan di Bosnia. Bahkan Sharifah Aini juga sedih kerana masih ada di antara kita yang belum merasa insaf dengan apa yang berlaku di luar dengan sikap suka bermusuh sesama kita. "Kita harus ingat Malaysia makmur dan aman. Oleh itu kita jangan di sini cuba menjadikan kewujudan persengketaan, keharmonian dikekalkan dan selalu ingat Allah mengatasi segala kewujudan di alam ini," katanya yang turut percaya pembalasan akan menimpa kaum seperti Serb.
SEDIH KISAH
ANAK TERBUANG
Hari demi hari kita mendengar cerita anak terbuang, anak dibunuh oleh ibu bapa yang tidak bertanggungjawab atau dari pasangan yang terlanjur melakukan maksiat. Bagi Aini membaca atau mendengar kisah-kisah anak dibuang ini, amat menghiris perasaannya. "Selepas bercerai dengan Ali Bakar, kak Aini malas nak mengandung lagi. Sedangkan Aliff (kini 12 tahun) perlukan adik-adik untuknya berkawan. Kerana itulah kak Aini mengambil beberapa orang anak angkat. Merekalah dunia kak Aini di rumah. Dengan mereka boleh bercerita, bermesra dan menghidupkan keharmonian kekeluargaan, bukan sahaja anak angkat, adik adik angkat pun ada. Merekalah keluarga kak Aini yang sepi tanpa kasih sayang selepas kehilangan arwah datuk dan nenek kak Aini. Di hari jadi Aliff baru-baru ini, kak Aini menangis di kala Aliff memotong kek di sisi kawan-kawannya.
Entahlah Huzz, kadangkala terkenangkan Aliff tu, nasibnya macam kak Aini... menjadi anak 'broken family'. Sebab itu kak Aini wajib menjaga dan memberikan sepenuh kasih sayang, agar dia jangan kehilangan. Dulu kak Aini dapat juga meneguk kasih sayang datuk dan nenek yang mengambil alih menjadi ayah dan emak ... bagaimana Aliff?" Sebenarnya Sharifah Aini tahu cara untuk menjaga anak supaya tidak merosakkan mereka. Sayang pun jangan keterlaluan. Kalau tak betul, mesti dimarahi.
DUA LAGU PALING
BERMAKNA
DALAM HIDUP AINI
Kita sangkakan lagu-lagu cinta nyanyiannya dalam lebih 45 album dan beratus lagunya mempunyai kenangan dalam hidupnya. Rupa-rupanya Cuma dua lagu sahaja yang boleh menitiskan airmatanya apabila dia mengenangkan memori di sebalik lagu itu. "Seri Dewi Malam' dan 'Rintihan Hati Pejuang Seni' ... itulah kedua lagu yang amat istimewa bagi saya. 'Seri Dewi Malam' lagu kesukaan arwah abah (datuknya) dan 'Rintihan Hati Pejuang Seni' lagu tulisan lirik saya dan di mana itu saya baru kehilangan arwah emak (neneknya) yang meninggal dunia," katanya.
EP yang memperkenalkan Sharifah Aini hingga ke hari menampilkan lagu kesukaan arwah datuknya, Seri Dewi Malam
Huzz difahamkan oleh pihak tertentu, Sharifah Aini jadi tidak tenteram bila mendengarkan arwah neneknya meninggal. Dia amat sayang sangat awah neneknya itu. "Kedua-dua lagu itu amat bererti. Lagu 'Rintihan Hati Pejuang Seni' menggambarkan perjuangan hidup saya sebagai artis.
Ada yang menerima, ada yang membenci kehadiran saya. Ternyata hidup penuh rintangan, dugaan dan cerita dalam dunia artis itu, bagaikan penuh bermakna di sebalik lagu itu. Masa rakaman itu S Atan selaku penerbit tak silap saya tahun 1979," katanya yang mungkin merakamkan semula lagu itu tidak lama lagi.
PERJUANGKAN NASIB
SENIMAN LAMA
Sharifah Aini bersama Ahmad Daud dalam sebuah rancangan hiburan terbitan TV3
Sharifah Aini turut memperjuangkan nasib seniman dan biduan lama yang masih hidup sebelum mata mereka terpejam selamanya. "Saya anggap kehadiran artis baru menambahkan lagi warna hiburan kita. Saya turut meminati mereka yang berbakat. Namun usahlah kita di sini melupakan veteran yang lama dari saya. Rosiah Chik, Jamil Sulong, Ahmad Nawab, Ahmad Daud, Normadiah, Ahmad Jais mereka ni semua perlu diberikan penghargaan oleh badan seni kita yang ada. Apa yang dapat oleh kerajaan itu anggap sebagai bonus. Kita tak menuntut dari kerajaan. Kalau kerajaan dah bagi kita bersyukur dan terima kasih. Sayangnya kenapa persatuan artis kita tidak memberikan penghargaan kepada mereka. Kita meminta hargailah mereka selagi usia masih ada. Bukan untuk saya ... untuk yang lebih lama. Buatlah Malam Jamil Sulong, Mahmud June ke ... untuk mengingati mereka. Saya sudi naik ke pentas menyanyi menghiburkan mereka pada malam itu. Intailah mereka antara nampak, esok jangan rindu-rinduan", katanya.

 

-1-   -2-

Kembali Ke Artikel-Artikel 1994