|
CEBURI DUNIA PERNIAGAAN SEBAGAI PERSEDIAAN TINGGALKAN DUNIA SENI oleh Ruzian Mohd Jan (Mingguan Wanita, 11-17 Oktober 2002) |
|
|
Baginya kehancuran rumahtangga ada hikmahnya. "Saya jadi lebih sabar, tabah dan berani menghadapi hidup. Lagipun ada kebaikannya. Misalnya sekarang saya boleh pergi melawat Aliff bila-bila saya suka. Sedangkan kalau ada suami hal ini tidak mungkin dapat saya lakukan." Selain itu menurut Sharifah Aini, tanpa ikatan perkahwinan menjadikan dirinya lebih versatile. "Sebagai wanita single saya perlu gigih berusaha bagi menampung kehidupan dan keluarga."Ini adalah antara faktor lahirnya Pods & Petals sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan membuat jambangan bunga, hadiah dan cenderamata melalui pesanan. Syarikat ini dikongsi bersama dua rakan karibnya, Jason dan Vivian. "Sebenarnya sudah lama saya memikirkan tentang bidang perniagaan. Walaupun banyak orang mengajak, tetapi hati saya masih belum terbuka sehinggalah baru-baru ini," terangnya yang mengeluarkan modal lebih RM160,000 dalam syarikat yang mempunyai modal pusingan RM500,000 itu.
Lalu, apakah yang mendorongnya bergabung dalam syarikat ini? "Kecantikan dan keindahan. Saya seorang yang amat menghargai dua perkara ini. Bila melihat betapa indahnya jambangan bunga dan hadiah yang dibuat, saya terus jatuh hati. Ditambah pula saya memang sangat berminat dengan bunga dan cara-cara mengubah bunga. Apa lagi, saya tahu bahawa kedua sahabat saya itu memang serius dan jujur dalam apa yang dilakukannya." jelas penyanyi yang sepanjang perjalanan kerjayanya telah menerima ratusan ribu jambangan bunga dan hadiah.Sharifah nampaknya serius dengan penglibatnnya dalam bidang ini. Seperti katanya, dia mahu benar-benar terlibat dan bukan setakat meminjamkan namanya sahaja. Untuk itu artis jelita itu sudahpun mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas menggubah bunga di masa terdekat ini. "Saya rasa perlu berbuat demikian bagi mengasah bakat yang sedia ada. Lagipun tidak adil jika saya hanya mahu mengaut keuntungan tanpa berbuat apa-apa. Saya tidak mengharapkan perniagaan ini berkembangan dalam sekelip mata. Biar perlahan tetapi mantap."Kiranya penyanyi yang bakal melahirkan album ke 75 tidak lama lagi, sudah mula memikirkan untuk meninggalkan dunia seni. Bukan sekarang, tetapi dalam dua atau tiga tahun lagi. "Saya sudah cukup lama bergelumang dalam dunia ini dan rasanya sudah tiba masa untuk mengundur diri. Lagipun saya bimbang kerjaya saya ini akan memberi tekanan pada Aliff. Mungkin inilah pengorbanan yang dapat saya lakukan sebagai ibu untuk permata hati saya itu." |
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|