|
BELUM HILANG AURA oleh Nurulhisham Abdul Latiff (Berita Harian - Rabu, 14 Mei 2008) |
|
|
Datuk Sharifah Aini mahu bersara sebaik terbit album ke-99, 100
|
|
|
Pada mulanya penyanyi ini mendedahkan, betapa dia inginkan suasana yang lebih intim bersama peminat. Justeru, majlis petang itu menerima tempahan beberapa ratus peminat saja. Dengan khalayak yang lebih kecil, wanita terkenal ini dapat berasakan keakraban bersama mereka yang datang. Dan, dia membuktikannya apabila turun dari pentas untuk bertemu kalangan penonton yang sememangnya menunggu penuh sabar penyanyi bersuara emas itu mendekati mereka. Lalu, peluang yang tiba tidak disia-sia apabila ramai yang mengerumuni untuk bersalam dan mengambil gambar. Tidak kurang yang melepaskan rindu dengan mencium pipi gebu penyanyi ini, tatkala dia berjalan-jalan menghampiri meja tetamu, sambil mengalunkan lagu Hapuslah Airmatamu. "Seronok betul apabila saya dicium oleh semua orang," kata penghibur ini, membayangkan kegembiraannya apabila ramai peminat cukup setia menyokong perjuangan seni muziknya sejak empat dekad yang lalu. Begitu juga penyanyi dari Johor ini tidak lupa memberikan penghormatan kepada beberapa tetamu kenamaan, serta rakan terdekat, yang turut hadir memberikan sokongan. Pengalaman yang begitu lama, menjadikan Sharifah Aini satu jenama yang mantap, bukan saja dari segi vokal, corak persembahan dan nyanyian, bahkan dia juga cukup cemerlang dalam 'mengambil hati' peminat.
Beberapa kali berjenaka, wanita berusia 54 tahun ini juga sempat memaklumkan betapa dia berhasrat untuk bersara daripada dunia nyanyian sebaik saja merakamkan album ke-99 dan ke-100 tahun depan. Begitupun, hasrat kak Pah nampaknya tidak dipersetujui peminat yang secara nyata membangkang. "No!", jerit peminat berkali-kali sebaik saja dia mengumumkan hasrat berbuat demikian. Kata penyanyi ini, dia bagai berasakan, tiba masanya dia melakukan sesuatu perkara yang berbeza. Ujarnya, jauh di sudut hati dia teringin menyumbangkan khidmat dan tenaga untuk pertubuhan kebajikan dan kemanusiaan bagi membantu insan yang memerlukan. "Jika saya menyuarakan hasrat untuk melakukan kebajikan di negara ini, ramai yang memandang pada saya dan bertanya apakah saya serius? Jadi, bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang, hantarlah saya ke Afrika atau ke mana saja, selama tiga bulan atau enam bulan, biar saya sumbangkan tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan," katanya. |
Pada ketika yang lain, penyanyi ini berkongsi cerita bagaimana kehidupannya dulu bukanlah semudah sekarang. Pada zaman kanak-kanak, dia terpaksa menjual kuih dan mengambil upah menggiling cili bagi membantu keluarga. Bapanya seorang pemandu teksi yang terpaksa berhempas pulas untuk membesarkan kanak-kanak. Banyak halangan dan kesukaran yang ditempuh penyanyi ini sebelum berjaya bergelar sebagai penyanyi. Dia masih ingat peristiwa bersusah payah menaiki bas untuk ke studio rakaman. Kerana kesusahannya itu dia menyimpan impian menjadi 'seseorang' apabila dewasa. Pertandingan nyanyian disertai pada usia remaja, mengubah kehidupannya. Dengan rezeki yang didapati hasil suaranya, Sharifah Aini membantu keluarga. Dia juga mendedahkan, jika diberikan peluang untuk mengundurkan masa, dia ingin sekali mempunyai lebih ramai cahaya mata. Namun, dia bersyukur apabila Allah menganugerahkan dirinya seorang anak lelaki, Alif. Hakikatnya, 'anak' penyanyi ini lebih daripada seorang. "Secara rasminya, saya mempunyai sembilan anak angkat. Tetapi jika dihitung anak angkat yang tidak rasmi, jumlah kira-kira 200 orang di seluruh negara. Saya berasa cukup puas apabila berpeluang mengubah kehidupan anak-anak berkenaan. Saya amat bersyukur apabila saya dapat hidup lebih senang pada masa sekarang. Saya sendiri pernah melalui saat yang sukar. "Kerana itu juga saya mengambil berat perihal anak-anak angkat. Merekalah pelaburan kita untuk hari akhirat," katanya penuh bermakna. Pada petang itu juga, bukan saja kisah silam dan pesanan berguna dikongsi penyanyi ini bersama peminat, malah dia juga berkongsi banyak lagu merdu era terdahulu untuk halwa telinga penontonnya. Di samping itu, dia tidak lupa untuk memperkenalkan beberapa lagu yang bakal didendangkan, dengan menceritakan sejarah ketika ia dirakam. Antaranya, lagu Putus Kasih yang cukup bererti baginya apabila dia merakamkan lagu terbabit ketika sarat mengandungkan Alif. Lagu lain yang dinyanyikan penghibur ini ialah Seri Dewi Malam, Kenangan Indah Yang Menyayat Hati, Dekatlah Padaku, Terbang Helang, Empat Dara, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Bunga Tanjung.
|
|
I N F O
|
|
Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut: |
|
|