|
ANAK SENI CATAT SEJARAH 'MBOR' (Utusan Malaysia - Jumaat, 5 March 2004) |
|
Datuk Sharifah Aini, Ella dan Siti Nurhaliza berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila nama ketiga-tiga penyanyi popular ini dicatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR). Nama biduanita Sharifah Aini tercatat dalam MBOR bagi kategori Artis Wanita Paling Banyak Menghasilkan Album. Sementara nama ratu rock Ella pula dicatat sebagai artis yang berjaya mencapai Penjualan Album Solo Paling Laris. Siti Nurhaliza yang baru lapan tahun membabitkan diri dalam bidang seni, dicatat sebagai Artis Paling Banyak Menerima Anugerah. Sehingga kini dia menerima lebih daripada 100 anugerah. Mereka bersama dengan pemegang-pemegang rekod lain yang turut mencatat nama dalam MBOR untuk bidang masing-masing dirai pada majlis Malam Anugerah Malaysia Book Of Records baru-baru ini. Menurut Sharifah Aini, dia merasa bangga dapat meraikan kejayaan dalam bidang seni bersama dengan Ella dan Siti Nurhaliza. "Kak Pah amat gembira menerima anugerah ini bersama-sama artis lain. Anugerah ini mampu memberi dorongan kepada rakan artis lain untuk terus berusaha," kata Sharifah Aini yang ditemui selepas majlis itu.
Bagi Siti pula yang merupakan penyanyi paling muda berjaya mengumpul anugerah paling banyak dalam sejarah muzik tanah air ini menganggap kejayaan yang diraih bukan untuk dibanggakan. Katanya, apa yang diperolehi adalah hasil sokongan peminat dan mereka yang bekerjasama dengannya. "Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja kalau tidak ada usaha. Setiap anugerah yang diberi, Siti terima dengan hati yang ikhlas," katanya yang turut mendendangkan lagu 'Bukan Cinta Biasa' pada majlis tersebut. |