AMAH SHARIFAH AINI BAGAI SAUDARA SENDIRI

oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Zanariah Abd Mutalib (Berita Harian - Sabtu, 22 Mei 2010)

SHARIFAH AINI (kanan) begitu mempercayai pembantu rumahnya, Mus yang sudah berkhidmat dengannya selama 18 tahunTunaikan umrah 11 kali, makan angin ke luar negara

PETALING JAYA: Pembantu rumah kepada biduanita negara, Datuk Sharifah Aini, berkata pemberian cuti sehari dalam seminggu bagi pembantu rumah Indonesia tidak perlu jika persekitaran kerja yang disediakan majikan baik dan gaji dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.  Pembantu rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mus, 45, berkata beliau tidak memerlukan cuti berkenaan kerana sudah dianggap seperti saudara sendiri oleh majikannya itu, justeru, lebih senang menghabiskan masa di rumah atau mengikut majikannya membuat tugasan luar.

Mus yang sudah menjadi pembantu rumah Sharifah Aini sejak 18 tahun lalu berkata, majikannya yang dibahasakan sebagai ‘Mummy’ bukan saja menjaga beliau dengan baik, malah turut memberi beliau peluang mengerjakan umrah sebanyak 11 kali dan dibawa ke luar negara, termasuk Dubai, Australia dan Singapura.   “Mummy sangat baik kepada saya dan saya sangat bersyukur kerana dilayan seperti saudara sendiri.  Makan pakai dan sakit pening saya semuanya Mummy ambil berat dan jika ada yang saya tidak tahu, beliau meminta saya terus bertanya kepadanya.  Masa saya banyak dihabiskan dengan Mummy dan saya rasa, cuti sehari seminggu itu tidak perlu kerana jika ada pun, saya tidak tahu ke mana harus pergi kerana tiada saudara mara di Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumah majikannya, di sini, semalam.

Mus yang sudah berpisah dengan suami sejak dua tahun lalu, berkata beliau akan pulang ke kampungnya di Jawa Tengah sekali dalam tempoh satu setengah tahun untuk menjenguk dua anak perempuannya, yang sudah berkahwin, masing-masing berusia 28 tahun dan 30 tahun.  Kadangkala anak akan datang melawat dan mereka juga bersyukur dengan layanan diberikan kepada saya, malah Mummy turut mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Aini yang turut mempunyai dua pembantu rumah lain berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk membenarkan pembantu rumahnya keluar bersiar-siar, namun mestilah ditemani pemandu peribadi kerana jika diberikan kebebasan sepenuhnya, beliau bimbang akan mengundang masalah.  “Saya juga tidak menghalang mereka untuk bercuti seminggu sekali tetapi mereka enggan dengan alasan tidak mempunyai ahli keluarga di sini,” katanya.

Sharifah Aini juga tidak percaya kekerasan yang dilakukan majikan terhadap pembantu rumah mampu menyedarkan mereka, sebaliknya kedua-dua pihak perlu berbincang jika timbul sebarang masalah.  “Jika majikan berasakan pembantu rumahnya bermasalah, tidak perlu berkasar dengan mereka, apatah lagi mendera, sebaliknya hantar semula mereka kepada agensi,” katanya.