ANUGERAH KECAPI PAPITA TUNGGU ENAM TAHUN

oleh Khadijah Ibrahim (Utusan Malaysia  - Isnin, 25 Disember 2006)

Selama enam tahun Persatuan Penyanyi-Pemuzik-Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) terpaksa mengumpul dana selama enam tahun bagi menganjurkan Majlis Makan Malam Semarak Kasih dan Penganugerahan Trofi Kecapi bagi kali kedua yang berlangsung di Sunway Lagoon Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.  Majlis yang serupa pernah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2000. Meskipun penganjuran majlis oleh Papita itu bukan diadakan setiap tahun namun usaha murni persatuan itu perlu dipuji.

Ini kerana objektif utama majlis yang dihadiri oleh 800 penggiat seni itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada insan seni yang kreatif untuk menjadi contoh kepada pihak lain. Menurut Presiden PAPITA, M.Daud Wahid, Anugerah Kecapi bukan sekadar pemberi rangsangan kepada insan seni untuk berkarya malah ia juga bertujuan untuk memartabatkan seni sebagai budaya bangsa.

“Siapa lagi yang akan memberi penghormatan kepada penggiat seni kalau bukan insan seni sendiri. Malah anugerah sebegini mampu memberi motivasi kepada insan seni untuk terus berkarya dan memajukan kerjaya masing-masing,” katanya.

Malam Semarak Kasih yang dirakam dan bakal disiarkan di RTM pada 8 dan 9 Januari 2007 itu juga membuktikan bahawa ikatan ukhuwah antara ahli persatuan amat kukuh.  Ini terbukti apabila bukan ahli sahaja mengadakan persembahan menghiburkan para tetamu tetapi barisan anak-anak mereka turut mengambil bahagian.  Bagi segmen Artis Anak Seni, seramai sembilan anak artis telah mengambil bahagian. Persembahan dimulakan oleh Jamie Chik, cucu kepada allahyarham Rosiah Cik. Lain-lain anak insan seni ialah Farah anak kepada penyanyi Datuk Malek Redzuan, Amy A. Rahman Hassan, Izan Bakri anak Rofitah Bachik dan Zulkefli M.Osman.

Sementara penyanyi popular yang turut memeriahkan majlis tersebut ialah Amy Search, Datuk Ahmad Jais, Datin Orchid Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Jeffry Din, Rohana Jalil, Shamrin Fotograf dan Zaiton Sameon.  Antara orang kenamaan yang hadir ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Adilah Sheikh Omar.

 

Untuk membaca lain-lain artikel yang berkaitan sila klik tajuk berikut:

 

  Bekas Suami Sharifah Aini Tersentuh Hati (Berita Minggu, 7 Januari 2007)

  Sharifah Aini Diiktiraf Biduanita Negara (Berita Harian, Jumaat, 29 Disember 2006)

  Bintang Lama, Baru Dihargai (Berita Harian, Jumaat, 29 Disember 2006)

  Anugerah Kecapi Macam Hari Keluarga PAPITA (Harian Metro - Khamis, 28 Disember 2000)

  PAPITA Hargai Jasa Kak Pah (Harian Metro, Sabtu, 23 Disember 2006)