\

 

sumbangan besar deddy m borhan

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Sumbangan Deddy M Borhan dapat dilihat apabila beliau menubuhkan syarikat perfileman Sabah Film Productions di Kuala Lumpur pada 1975.  Menerusi syarikat itu, dia dianggap sebagai penyelamat dalam industri perfileman tempatan yang ketika itu sedang merudum.

Pada waktu itu, dunia perfileman Melayu dianggap sudah berkubur kerana kebanjiran filem Indonesia yang menguasai pawagam-pawagam tempatan.

Deddy dan Sabah Film Productions dikatakan membangkitkan semula dunia filem Melayu tahun 1970-an dam 1980-an selepas pasca kegemilangan Studio Malay Filem Production dan Cathay Keris Film yang berpusat di Singapura malah ketika itu juga Studio Merdeka di Hulu Klang juga menghentikan operasinya.

Sabah Film Productions muncul dengan filem pertamanya berjudul KELUARGA SI COMOT pada 1975 arahan Aziz Sattar.  Selepas itu, Deddy menerbitkan filem HAPUSLAH AIRMATAMU pada 1976 yang dibintangi Broery Marantika, Sharifah Aini dan Latiff Ibrahim.

Kebanggaan Sabah

Deddy menjadi kebanggaan Sabah, bukan saja sebagai produser filem berjaya tetapi kerana inisiatif menerbitkan filem khas mengenai pahlawan negeri kelahirannya berjudul MAT SALLEH PAHLAWAN SABAH pada 1983.  Pada 1980 adalah zaman kegemilangan Sabah Film, syarikat miliknya apabila menerbitkan lima filem serentak iaitu GILA GILA, KISAH SEORANG BIDUAN, SI BADUL, SI LUNCAI dan TUAN BESAR.

Pada 1984, empat filem diterbitkan sekaligus AZURA, DI AMBANG KASIH, PAGAR PAGAR CINTA dan TALAK.  Namun, penerbit dan pengarah filem ini membuat kejutan besar apabila filem AZURA yang diarahkannya pada 1984 memecahkan rekod sebagai filem Melayu pertama mencatat kutipan tiket box-office dengan mengutip hampir RM2 juta.

Selama beroperasi, Sabah Film Productions menerbitkan 17 filem antaranya, KISAH SEORANG BIDUAN, TOYOL, SUMPAH SEMERAH PADI dan PENDEKAR dan berjaya melahirkan ramai bintang filem, antaranya Fauziah Ahmad Daud, Sharifah Aini, Jamal Abdillah, AR Badul dan Latif Ibrahim.

Tokoh Perfileman

Dalam pada gigih menghidupkan semula dunia perfileman Melayu, Deddy juga aktif memperjuangkan nasib penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu di negara ini melalui jawatan yang disandangnya ketika itu sebagai presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA) yang ditubuhkan pada 1977 dan memimpin persatuan artis itu hingga 1982.

Sumbangan besarnya terhadap dunia perfileman melayakkannya menerima Anugerah Tokoh Perfileman FINAS pada 2006 yang disampaikan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Biarpun Sabah Film Productions dibubarkan pada akhir tahun 1980-an, namun tidak bermakna beliau sudah melupakan bidang perfileman, sebaliknya masih bergerak aktif di negeri kelahirannya dalam penerbitan bentuk majalah dan dokumentari.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 7 Julai 2013)

 

Lagu Latar: Harapan Hampa – Deddy M Borhan (petikan daripada album runut bunyi HAPUSLAH AIRMATAMU, 1976)