\

 

Sejarah 26 Tahun 'ABPBH'

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Sempena Jubli Perak, ABPBH-25 memperkenalkan satu kategori khas untuk menghargai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular sepanjang 25 tahun yang lepas 'Anugerah Seri Perak'Acara Anugerah Bintang Popular BH (APBBH) yang tahun ini memasuki pengajuran kali ke-26 mencatatkan satu perjalanan sejarah yang panjang.  Mula diilhamkan pada 1987 hasil idea bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk A Nazri Abdullah bersama beberapa orang penting dalam meja hiburan BH ketika itu terutama Pengarang Unit Hiburan (ruangan Pusaparia), Nordin Mohamad serta wartawan hiburan BH, Zubairi Zabidin.

Dibantu Pengurus Promosi Kumpulan New Straits Times Press Bhd (NSTP), Oliver Jackson, mereka mula mencari penaja untuk menyokong anugerah yang memberi peluang kepada pembaca memilih calon artis kesayangan masing-masing menerusi undian di akhbar ini.

Sejak itu bermulanya majlis itu dengan nama Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 (APPP87) Nescafe Classic yang diadakan di Dewan Bunga Raya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Disember 1987, jam 8.30 malam yang dihoskan seniman Datuk Ahmad Daud.

Peringkat  permulaan, tujuh kategori dipertandingkan iaitu Pelakon Lelaki Popular, yang dimenangi Eman Manan, Pelakon Wanita Popular (Fauziah Ahmad Daud), Pelakon Pembantu Lelaki Popular (Ahmad Tamimi Siregar), Pelakon Pembantu Wanita Popular (Marlia Musa), Penyanyi Lelaki Popular (Shidee), Penyanyi Wanita Popular (Francissca Peter) dan Penyanyi Berkumpulan Popular (Search).

Undian Terbanyak

Hampir 380,000 borang undian diterima daripada pembaca akhbar ini pada tahun pertama.  Artis yang mendapat undian terbanyak ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud (284,813 undi), diikuti Fran (246,838 undi).  Impak daripada kerjayaan pertama, APPP88 dianjurkan dengan masih mengekalkan tujuh kategori sama.  Pemenang pada tahun kedua ialah Sabree Fadzil (Pelakon Lelaki Popular), Aznah Hamid (Pelakon Wanita Popular), Ridzuan Hashim (Pelakon Pembantu Lelaki Popular), Raja Ema (Pelakon Pembantu Wanita Popular), Jay Jay (Penyanyi Lelaki Popular), Ramlah Ram (Penyanyi Wanita Popular) dan Gersang (Penyanyi Berkumpulan Popular).

Acara kemuncak berlangsung di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, pada 10 Disember 1988.  Ia dihoskan ND Lala dan Charmaine Agustine yang kali pertama dirakamkan TV3 untuk siaran Hari Krismas pada 25 Disember 1988.  Kemudian barulah muncul APPP89 yang dianjurkan menerusi kerjasama RTM dan jenama Salem di Angkasapuri, pada 13 Januari 1990, jam 8.30 malam.  Hosnya DJ Ainul Jamal dan Sharifah Sakinah Al Junid.

Dari situ APP terus bergerak dan perubahan besar berlaku pada 1990 apabila ia memperkenalkan kategori Artis Paling Popular yang kini menjadi Bintang Paling Popular.  Nama APPP ditukarkan kepada Anugerah Bintang-Bintang Popular pada 1992 dan turut menyaksikan penambahan beberapa kategori Penghibur TV Lelaki dan Wanita, Pelakon TV Lelaki dan Wanita, Artis Komedi Lelaki dan Wanita dan Pelakon Lelaki dan Wanita Drama TV

Mulai 1994, namanya ditukar sekali lagi kepada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang terus dikekalkan hingga hari ini.  Dalam meniti perjalanan panjang ABPBH, menyaksikan penambahan dan beberapa anugerah digugurkan sebagai penambahbaikan kepada majlis anugerah ini.  Antara kategori digugurkan termasuk Penyanyi Nasyid Popular, Artis Kanak-Kanak Popular, Penghibur TV Lelaki Popular dan Penghibur TV Wanita Popular.  Kini, sebanyak 16 kategori dipertandingkan untuk direbut oleh artis yang berjaya dicalonkan untuk Top 5.

Selama 26 tahun penganjurannya, ia menyaksikan Datuk Siti Nurhaliza mengungguli anugerah Bintang Paling Popular sebanyak enam kali (1996-2001, 2004, 2009), Mawi (2005, 2006 dan 2007) dan pemenang lain – Aishah (1990), Zainal Abidin (1991), Eman Manan (1992), Sofia Jane (1993), M Nasir (1994), Ziana Zain (1995), Rosyam Nor (2002). Saiful Apek (2003), Nabil (2008), Shazley Sam (2010), Aaron Aziz (2011).

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 31 March 2013)