Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

   Ulek Mayang tiada lagi unsur khurafat

Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. 

Persembahan Kesenian Tradisional ... Ulek MayangIni adalah persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.  Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang.  Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat.  Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain.  Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah.  Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.

Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera.  Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.

Koreografer Badan Kesenian Muzium Terengganu, Mohd Nazri Ismail, menjelaskan olahan termasuk gerak tari dan susunan muzik dilakukan bagi memberi nafas baru selaras dengan perkembangan zaman dan penerimaan masyarakat ketika ini.

Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk.  Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk. 

Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera.  Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.

Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik.  Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang.  Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.

Doa dan 'bangkitan' dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 15 Februari 2009, oleh Suzan Ahmad)

Lagu Latar: Ulek Mayang - Aishah Mohd Shariff