Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

   Tarian Daling-Daling

Mengikut sejarahnya, tarian Daling Daling sebenarnya berasal dari Sepanyol.  Ia dipercayai diperkenalkan oleh tentera Sepanyol kepada penduduk Filipina.  Akibat pengaruh yang dibawakan tentera Sepanyol, kini tarian Daling Daling menjadi tarian bagi kaum Sulu yang tinggal di Tawau.

Alat muzik yang digunakan ialah 'gabbang' dan dua bilah kayu yang disebut 'bolak-bolak'.  Daling Daling ditarikan secara berpasangan, masing-masing tiga penari lelaki dan wanita.  Ia dipersembahkan di majlis pertunangan, perkahwinan, berkhatan, berkhatam Quran atau majlis Hari Raya.  Penari wanita memakai 'destar' yang disebut 'pies'.

Manakala, jari mereka pula dihias dengan kuku palsu yang diperbuat daripada logam perak atau suasa, kuku itu dinamakan 'janggal'.  

Selain terkenal di kalangan suku kaum Sulu, tarian Daling Daling juga adalah tarian tradisional yang cukup terkenal bagi suku kaum Bajau. 

Tarian Daling Daling biasanya dipersembahkan dengan iringan pukulan 'gabbang' dan gesekan biola dan nyanyian, kuku tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang disematkan di sepuluh jari penari wanitanya. 

Liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakan kaki penarinya memperlihatkan keunikan tarian ini.

Ada sesetengah yang berpendapat bahawa tarian ini adalah tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Sulu dari kepulauan Mindanao selepas mendapat pengaruh tentera Sepanyol.

Pertumbuhan dan percampuran antara masyarakat Bajau dan Sulu mengakibatkan begitu kuatnya pengaruh tarian ini.

Sementara itu, dipercayai juga perkataan Daling Daling adalah berasal daripada perkataan Inggeris 'darling' yang bererti kekasih.  Tarian ini adalah tarian hiburan yang unik di majlis khusus dan istimewa di mana penari lelaki dan perempuan akan berbalas pantun sambil menari. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 14 Jun 2009, oleh Suzan Ahmad)