Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

 

 

 

   M Shariff, pop yeh yeh sinonim

M Shariff ... mengembalikan nostalgia irama pop yeh yeh Shariff Awang atau lebih dikenali sebagai M Shariff adalah penyanyi irama pop yeh yeh yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar akhir dekad 1960-an.  M Shariff dilahirkan di Ipoh, Perak pada 1951 mula meminati bidang muzik sejak di bangku sekolah lagi.  Bakatnya begitu terserlah sehingga mampu mengadakan konsert di Singapura sekitar akhir 1960-an, selain muncul dalam rancangan hiburan terbitan TV Malaysia ketika itu.

Pada 1970, pertama kalinya M Shariff bersama kumpulan The Zurah merakam empat lagu Inggeris untuk dimuatkan dalam EP.  Ia kemudian dirakam semula pada tahun sama dalam bahasa Melayu berjudul Keindahan Pantai iaitu lagu asal Suddenly She Loves Me oleh the Tremeloes.  EP berkenaan adalah terbitan M Shariff's Scope miliknya.  M Shariff juga banyak merakam lagu dengan syarikat MMI/Royal, kebanyakannya lagu saduran Hindi.  Dia sanggup ke India dan berguru dengan komposer terkenal, Shankar Jaikishan semata-mata untuk memantapkan lagi persembahannya.

Dia menyepi seketika kerana memberikan tumpuan kepada perniagaan menjual dan menyewa peralatan muzik.  Penyanyi legenda ini muncul kembali atas usahanya sendiri bagi menjayakan konsert irama pop yeh yeh 60-an.  Secara tidak langsung usahanya itu mengembalikan kegilaan terhadap muzik pop yeh yeh yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang turut berjaya mengumpulkan ramai artis era 60-an bagi menjayakan persembahan untuk disalurkan ke tabung kebuluran Afrika pada 1985.

Sejak itu, beliau aktif semula bersama kumpulan The Zurah II yang ditubuhnya sendiri dengan dibarisi ahli baru.  Kumpulan ini aktif merakam suara selain menjadi pemuzik pengiring kepada artis seangkatannya yang membuat rakaman semula lagu masing-masing. 

Pada 1996, sekali lagi beliau mengusahakan persembahan artis-artis 60-an dinamakan konsert Masih Ada Yang Sayang di Stadium Merdeka bagi menampung perbelanjaan perubatan untuk A Ramlie yang ketika itu menderita penyakit Parkinson.  Pada masa sama, dia turut merakamkan album baru seperti Untukmu Hijau Kuning dan M Shariff Goes International.

Kehandalan M Shariff bermain gitar elektrik mendapat pengikitrafan antarabangsa apabila beliau dinobatkan sebagai The Malaysian Fenderman oleh syarikat pembuat gitar elektrik dari Amerika Syarikat.  Dia juga adalah ahli Kelab Irama 60-an Zon Selatan yang berpangkalan di Melaka dan juga berkhidmat di Balai Rakyat Woodlands sebagai Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Selain menganggotai kumpulan The Zurah II, M Shariff juga pernah menerbitkan album antaranya Jefrydin, S Jibeng, Datuk M Daud Kilau, Rocky Din, Pak Man Telo dan Cik serta beberapa kumpulan rock seperti Battle of the Bands 1 dan 2, Lefthanded, Ella & The Boys, Rahim Maarof, SYJ (Sofea), May, Metallian, Burnmarks dan Bloodshed.

M Shariff meninggal dunia ketika berusia 48 tahun akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya selama 15 tahun.  Penyanyi yang cukup versatile ini meninggalkan seorang balu, Farida Mohd Salleh dan tiga anak.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 1 Februari 2009, oleh Suzan Ahmad)

Lagu Latar: Keindahan Pantai - Zurah II