Kompang untuk sambut pengantin

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, menurut portal Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, kompang adalah alat muzik yang mempunyai baluh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras yang lazimnya daripada spesies nangka.  Nama saintifiknya ialah Artocarpus heterophyllus.

Belulang daripada kulit kambing digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan baluhnya dengan menggunakan bahan pelekat kemudian ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin.  Kompang juga memerlukan rotan sedak sebagai alat tala untuk menghasilkan suara yang baik.

Permainan kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan bersila, berdiri ataupun berarak mengikut keperluannya.  Dalam teknik penghasilan bunyi, pemain akan menggunakan sebelah tangan untuk memegangnya dan menggunakan sebelah tangan lagi untuk memukulnya.

Selain marhaban, fungsi kompang dalam kehidupan masyarakat masa kini menjadi begitu penting khususnya untuk meraikan majlis perkahwinan ataupun menyambut tetamu dan juga pembesar negara.  Kini, permainan kompang mula diajar di sekolah serta pusat pengajian tinggi dan institusi kerajaan.  Dalam konteks persembahan, sesebuah kumpulan kompang membabitkan tiga kumpulan mengikut peranannya. 

Kumpulan pertama terdiri daripada beberapa pemain yang bertindak sebagai 'pembolong' menggunakan istilah tempatan untuk untuk memainkan pola paluan yang khusus serta tertentu secara seragam dikenali sebagai pukulan dasar.   Kumpulan kedua bertindak sebagai 'peningkah' yang lazimnya seorang saja sebagai master dalam permainan itu.  Kumpulan ketiga bertindak sebagai 'penyilang' yang memainkan rentak hias sebagai unsur pelengkap kepada keseluruhan pola paluan terjalin di dalamnya.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 20 Julai 2008, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Pengantin Bersanding M Daud Kilau