Gitar Fender pencetus revolusi industri muzik

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Clarence Leonidas Fender, atau lebih dikenali sebagai Leo Fender adalah pencipta dan pengasas kepada jenama gitar yang cukup bermutu dan ternama di dunia iaitu gitar Fender.  Gitar jenama ini cukup tersohor sehinggakan beberapa pemuzik terkemuka dunia lebih cenderung bermain dan memiliki gitar Fender berbanding gitar jenis lain.

Leo Fender dilahirkan pada 10 Ogos 1909 di rumah ladang milik keluarganya di Anaheim, California, Amerika Syarikat.  Sejak kecil lagi, setiap kali ada kelapangan Leo cukup minat memperbaiki kelengkapan gitar elektronik.

Begitupun, ketika menuntut di sekolah tinggi, Leo bercita-cita untuk menjadikan bidang perakaunan sebagai kerjaya profesionalnya.  Pada awal 1930-an, Leo mengahwini Esther Klosky dan bertugas sebagai akauntan di State of California Highway Department di San Louis Obispon.

Leo tidak dapat lari daripada menjadi mangsa kejatuhan ekomomi mengakibatkan dia kehilangan kerja.  Sikapnya yang berani, panjang akal, berbakat dan kreatif mendorongnya untuk memulakan perniagaan.  Dia meminjam wang AS$600 dan membuka kedai membaiki kelengkapan elektronik dipanggil Fender Radio Service.

Berkat kesabaran dan ketekunan, Fender mula mengembangkan sayap perniagaan membabitkan gitar dan juga amplifier.  Leo akhirnya bertemu apa yang benar-benar diingininya dalam hidup dan keghairahan itu bertanggungjawab menjadikannya seorang usahawan berjaya.

Dia mereka cipta semula dan menambah baik teknologi gitar elektrik.  Gitar ciptaannya cukup dikenali kerana mutu bunyi terkini dan berkualiti tinggi sehingga mampu mengubah revolusi dan wajah asal industri muzik.  Beberapa tahun kemudian, Leo mula mengalami masalah kesihatan membimbangkan.

Namun, inovasi Leo tetap diteruskan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir.  Leo pernah beberapa kali diserang angin ahmar dan akhirnya menderita penyakit Parkinson.  Beliau meninggal dunia pada 21 Mac 1991.

Antara jenama gitar yang sehingga kini menjadi buruan pemuzik dan pengumpul gitar adalah Fender Broadcaster, Telecaster dan Stratocaster.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 8 Disember 2008, oleh Suzan Ahmad)